KUCHING - Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem menyangkal dakwaan kononnya beliau beliau anti pemimpin Kerajaan Persekutuan dan penduduk dari Semenanjung Malaysia.

Katanya apa yang beliau perjuangkan adalah hak kesaksamaan untuk semua rakyat Malaysia termasuk negeri dan rakyat Sarawak.

"Saya anti dasar ketidaksaksamaan, bukannya anti pemimpin-pemimpin Kerajaan Persekutuan dan rakyat Semenanjung Malaysia," katanya dalam rancangan Bersama Ketua Menteri Sarawak yang disiarkan secara langsung menerusi TV1 dari Auditorium P. Ramlee, Radio Televisyen Malaysia Kuching di sini malam tadi.

Adenan berkata apa yang sedang beliau perjuangkan adalah untuk mendapat semula kuasa untuk Sarawak seperti yang tercatat di dalam Perjanjian Malaysia yang ditandatangani pada tahun 1963.

Beliau juga inginkan Sarawak menerima pembangunan yang sama sebagaimana dinikmati negeri-negeri di Semenanjung.

Adenan juga menegaskan bahawa beliau tidak ada niat sama sekali mahu membawa Sarawak keluar daripada Malaysia sambil menyifatkan tindakan seumpama itu tindakan yang bodoh.

Mengenai pilihan raya negeri akan datang, Adenan selaku pengerusi BN berkata, beliau yakin BN mampu untuk mencapai kemenangan besar.  

Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas rancangan berkenaan, Adenan mengesahkan bahawa BN akan turut mencalonkan beberapa penyandang kerusi yang kini bersama Parti Bersatu Rakyat (UPP) dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras), kedua-dua parti yang masih menunggu penerimaannya ke dalam keluarga BN.

"Apa yang penting ialah kita mahu calon yang boleh menang, tidak kira dari mana termasuk juga calon-calon daripada Teras dan UPP," katanya.  

Pilihan raya Sarawak akan datang bakal menyaksikan 82 kerusi dipertandingkan termasuk 11 kerusi baharu yang menjadi rebutan parti-parti komponen BN. - Bernama

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.