Tawau, 26 Feb 2016 - Satu kes yang telah menjadi viral di aplikasi Whatsapp baru-baru akhirnya berjaya diselesaikan oleh pasukan Strike Team (ST) dalam tempoh lebih kurang 24 jam. Dua suspek yang menggunakan kenderaan jenis Perodua Myvi itu menggunakan modus operandi dengan bertanya kepada mangsa dan dalam pada masa yang sama bertindak merampas telefon bimbit milik mangsa. Mangsa yang juga seorang wanita berusia 23 tahun telah tampil membuat laporan di Balai Polis Tawau sejurus selepas kejadian.

Bertindak atas maklumat, pasukan ST berhasil menjejaki kenderaan tersebut yang dikesan berada di Lapangan Terbang Tawau. Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan Perodua Myvi mendapati pemandu iaitu seorang lelaki berumur 35 tahun yang dipercayai dalang kes ragut itu telah ditangkap bersama-sama dengan sebilah taji panjang yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut. Suspek kedua pula merupakan seorang lelaki warga asing berumur 26 tahun telah ditangkap di salah sebuah rumah kedai di Jalan Apas. Semasa tangkapan dibuat, pasukan ST telah bergelut dengan suspek yang bersenjatakan sebilah pisau. Salah seorang pegawai pangkat rendah polis telah mengalami kecederaan di bahagian tapak tangan semasa pergelutan berlaku. Kedua-dua suspek dibawa ke Balai Polis Tawau untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, tindakan pantas satu unit kereta peronda MPV IPD Tawau telah berjaya menemui sebuah van yang dilaporkan hilang kurang daripada tempoh satu jam selepas dilaporkan. Bertindak atas maklumat dari Bilik Gerakan Tawau, kenderaan jenis van itu telah dikesan dan ditemui berhampiran stesen minyak Shell Batu 5 Jalan Apas.

Tahniah atas tindakan pantas pasukan ST dan unit peronda MPV. Semoga kejayaan seperti ini memangkin semangat warga IPD Tawau dalam usaha untuk mengurangkan kes jenayah dan menjadikan daerah Tawau selamat dan aman. Maklumat dari orang awam terutamanya berkaitan jenayah boleh disalurkan terus ke hotline IPD Tawau, 089-772121 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.