Polis marin merampas pelbagai jenama rokok bernilai RM31,000 di Tawau

TAWAU - Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau merampas 6,100 bungkus rokok pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM31,000 dalam Operasi Paradise di kawasan perairan daerah ini, semalam.

Komander PPM Wilayah Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Madun berkata, kegiatan menyeludup masuk rokok itu dihidu anggotanya yang sedang melakukan rondaan kira-kira 11.15 malam tadi dan terserempak dengan sebuah bot laju dari arah Sungai Nyamuk, Indonesia, ke muara Sungai Tawau.

"Ketika menyedari kehadiran bot ronda PPM, bot terbabit dipecut untuk melarikan diri. Bot ronda PPM kemudiannya bertindak mengejar bot itu selama kira-kira 18 minit sebelum berlaku pergeseran antara kedua-dua bot.

"Dua lelaki dalam bot terbabit kemudian terjun ke laut dan meninggalkan bot mereka. Anggota PPM yang mengejar mereka terpaksa berhenti berikutan air cetek dan khuatir enjin bot rosak," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad berkata pemeriksaan lanjut mendapati 3,000 bungkus rokok jenama 'Premium Gold' bernilai RM15,000; 1,000 bungkus rokok Astro Merah (RM5,500); 1,000 bungkus rokok kretek LA Hijau (RM5,000); 600 bungkus rokok kretek LA Merah (RM 3,000) dan 500 bungkus rokok Astro Hijau (RM2,500).

Pihaknya juga menyita bot dan enjin yang dianggarkan bernilai RM65,000 untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kastam Seksyen 135(1)(e) 1967. –Bernama


Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.