ALOR SETAR - Pada mulanya perancangan untuk menukar Menteri Besar Kedah nampak begitu mudah apabila dicetuskan rasa tidak puas hati dan hilang kepercayaan kepada kepimpinan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Dengan sokongan majoriti ketua bahagian dan beberapa timbalan ketua bahagian,  Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dengan lantang mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melakukan perubahan dan mengambil langkah segera menggantikannya dengan pemimpin lain.    

Ketika itu, nampak laluan mudah untuk mengubah kedudukan menteri besar dan Pengerusi Umno Kedah kerana jelas kelihatan Mukhriz sudah kehilangan sokongan dari kebanyakan  Umno bahagian dan pemimpinnya.

Namun tidak semudah yang dijangkakan apabila Mukhriz meneruskan tugasnya seperti biasa dan merangka strategi untuk melengah-lengah proses peralihan kuasa.

Minggu pertama, tiada apa-apa pun yang berlaku dan seolah-olah Mukhriz kekal dengan kedudukannya itu. Beliau turut menyambut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempunyai dua program di Langkawi.

Kedua-dua kelihatan tersenyum dan gelak ketawa bersama tetamu lain. Najib juga sempat berseloroh ketika berucap dalam majlis menyambut ketibaan penumpang penerbangan sulung Air Asia dari Guanzhou, China ke Langkawi.

Mukhriz juga kelihatan menaiki kereta bersama Najib menuju ke program kedua anjuran Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Sungai Chenang - seolah-olah tiada apa kemelut atau gelora politik di Kedah.

Masuk minggu kedua pun nampak seperti biasa dan sehingga hari ke-12 apabila Mukhriz mengeluarkan kenyataan mengecam tindakan pemimpin dan Adun Umno kerana mencemarkan sambutan Hari Keputeraan Sultan Kedah dengan insiden yang memalukan.

Kenyataan yang begitu pedas dengan mengaitkan rasa kurang senang dan kemurkaan pihak Istana terhadap kejadian itu menampakkan Mukhriz sudah bersedia berkonfrontasi dengan kelompok yang dipimpin Ahmad Bashah demi memanjangkan tempoh hayat bagi mengekalkan kerusinya di Wisma Darul Aman.

Keesokannya, Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah bertemu dengan semua Adun BN untuk mendengar sendiri pendirian mereka dalam kemelut yang berlaku itu - sama ada menyokong Mukhriz atau menolak kepimpinannya.

Ia melibatkan kehadiran Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Tan Sri Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah, yang juga Tunku Temenggong Kedah, Tunku Laksamana Kedah, Tunku Tan Sri Abdul Hamid dan Tunku Panglima Besar Kedah, Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Sultan Abdul Halim.

Nampak masalah yang mula meruncing itu akan reda dan berakhir dengan baik. Namun berlaku sebaliknya kerana tiada keputusan atau kata putus mengenai kedudukan Mukhriz walaupun beliau turut hadir bertemu Jemaah Pemangku Sultan Kedah selepas itu.

Timbul pelbagai spekulasi apabila semua pihak enggan memberi kenyataan mengenai hasil pertemuan itu sama 19 Adun dengan tegas menolak kepimpinan Mukhriz seperti yang dijanjikan di hadapan Najib sebelum itu atau berlaku sebaliknya.

Akhirnya terjawab juga apabila ada beberapa Adun yang juga exco dalam kepimpinan Mukhriz menyokongnya dan tidak menepati janji seperti yang diakui sebelum itu.

Kenyataan ringkas Ahmad Bashah bahawa belum ada kata putus hasil pertemuan itu menguatkan lagi bahawa berlaku perpecahan undi dalam kalangan Adun BN sendiri terhadap Mukhriz.

Lebih mengejutkan apabila 15 Adun pembangkang pula diminta menghadap untuk proses yang sama seperti dilalui Adun BN keesokannya.

Jangkaan awal mereka akan menyokong Mukhriz - tetapi tiada keputusan yang diketahui bilangan yang benar-benar berbuat demikian.

Namun dapat dicongakkan bahawa ada juga Adun pembangkang yang menolak kepimpinan Mukhriz jika berdasarkan kenyataan bahawa bekas MB itu tidak mendapat sokongan majoriti ahli dewan - menyebabkannya terpaksa mengundurkan diri dan meninggalkan kerusi panas MB Kedah.

Itulah hakikat dalam politik. Kawan tidak semestinya sentiasa menyokong kita sepanjang masa dan tidak mustahil boleh cah keting atau tikam dari belakang.

Mahupun pihak lawan pula tidak semestinya sentiasa bermusuhan dengan kita - ada kalanya mereka turut menyumbang sesuatu sehingga matlamat kumpulan Ahmad Bashah menjadi realiti - dari impian menjadi kenyataan.-Sinarharian


Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.