BANGI - Kementerian Kesihatan akan memberi tumpuan kepada kawalan nyamuk Aedes terutama memusnahkan kawasan pembiakannya bagi mencegah penyebaran wabak demam denggi dan virus Zika.

Menterinya, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, ini berikutan nyamuk Aedes merupakan vektor yang sama kepada dua penyakit tersebut.

“Memang ada kebimbangan dalam kalangan rakyat jika virus ini (Zika) menular ke negara ini. Apatah lagi virus ini disebarkan oleh vektor yang sama iaitu nyamuk Aedes.

“Jadi kawalan nyamuk Aedes bukan saja penting untuk kawal denggi tetapi ini juga cara untuk pastikan jika virus Zika datang ke Malaysia, kita dapat kurangkan penyebarannya.

"Kita kena tingkatkan lagi usaha untuk kurangkan tempat pembiakan nyamuk Aedes,” katanya dalam sidang media selepas melawat kawasan panas denggi di Flat Seri Cempaka, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, antara faktor penyebaran virus Zika yang paling dibimbangi ialah melalui perjalanan ke negara-negara yang terjejas dengan virus berkenaan.

“Sekarang untuk ke luar negara adalah sangat mudah. Jika dijangkiti, mereka mungkin tidak tahu sebab tidak ada simptom.

“Kemudian mereka pulang ke negara ini dan digigit pula oleh nyamuk Aedes. Apabila proses itu sudah bermula, susah untuk kita kawal, itu yang kita bimbang,” katanya.

Ketika ditanya mengenai tempoh penyebaran virus Zika, Subramaniam berkata, ia secepat penularan denggi.

“Sebab itu kita guna semua mekanisme yang ada untuk kawal nyamuk Aedes. Tempoh inkubasinya dua minggu iaitu sama macam denggi.

“Dalam tempoh itu nyamuk boleh jangkiti orang lain. Cuma bezanya denggi boleh sebabkan kematian, manakala virus Zika beri kesan kepada bayi dalam kandungan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sebanyak 15,251 kes demam denggi direkodkan tahun ini sehingga Sabtu lalu, iaitu peningkatan 15 peratus berbanding 13,252 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Katanya, jumlah tertinggi dicatatkan di Selangor iaitu 7,355 kes, manakala jumlah kematian menurun 7.5 peratus atau 37 kematian berbanding 40 kematian tahun sebelumnya.-Sinarharian

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.