Pasukan Polis Marin Tawau merampas 37 tong Gas Petroleum Cecair di Tawau


Tawau: Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau merampas 37 tong Gas Petroleum Cecair (LPG) selepas tiga lelaki gagal menunjukkan permit Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berkaitan barang yang dibawa di muara Sungai Haji Kuning, tengah malam tadi.

Rampasan dilakukan antara 11.45 malam hingga 12.15 tengah malam, ketika sepasukan anggota PPM menjalankan Op Paradise di kawasan perairan daerah ini.

Komander PPM Wiilayah 4, Asisten Mohamad Madun berkata, anggotanya menahan dua bot laju yang dinaiki tiga lelaki dipercayai dalam perjalanan dari Tawau menuju ke Sungai Haji Kuning.

"Bot dinaiki lelaki 26 tahun membawa 20 tong LPG manakala satu lagi dinaiki dua lelaki berusia 34 dan 36 tahun membawa 17 tong LPG.

"Hasil pemeriksaan mendapati, mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen seperti lesen perniagaan atau sijil barang kawalan daripada KPDNKK," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sehubungan itu, Mohamad berkata, semua LPG yang bernilai RM3,700 itu dirampas mengikut Seksyen 7(4) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa barang kawalan tanpa permit.- hmetro


Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.