Kenyataan kurang cerdik Pertama Ahmad Bashah Sudah Keluar


Kenyataan kurang cerdik pertama sudah keluar. Awal-awal lagi sudah memperlihatkan kelemahan dia. Kalau sekadar nak teruskan perancangan Mukhriz, mengapa tidak biarkan saja Mukhriz yang teruskan? Mengapa mesti pecat Mukhriz?

Lagipun, satu daripada alasan memecat Mukhriz adalah bahawa Kedah ketinggalan dalam projek-projek pembangunan negeri. Kalau begitu, bagaimana mungkin hendak diteruskan benda yang tidak ada?

Kalau dia cerdik, sudah semestinya dia bersedia dengan satu senarai panjang perancangannya sendiri untuk dilaporkan kepada media. Sebutkan begini pun cukup: "Untuk pembangunan Kedah demi kesejahteraan rakyat, pelbagai projek serta program akan dilaksanakan. -Facebook/Mat.Yet

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah yang baharu, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berjanji akan meneruskan projek-projek pembangunan yang telah dan sedang dirancang Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir sebelum ini, selagi mana ia memberi kebaikan kepada rakyat.

Beliau berkata, tiada sebab untuk projek-projek pembangunan yang bermanfaat disekat memandangkan ia adalah untuk kepentingan negeri dan rakyat Kedah sendiri.

"Daripada mana kepimpinan sekali pun kita ambil, selagi perancangan pembangunan tersebut baik, kita akan teruskan. Kadang-kadang kepimpinan bukan daripada BN pun kita teruskan, inikan pula (perancangan) Datuk Seri Mukhriz yang merupakan Adun BN," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Istiadat Penganugerahan Bintang dan Darjah Kebesaran sempena hari Keputeraan Sultan Kedah ke-88 di Istana Anak Bukit hari ini.

Sebelum itu, Ahmad Bashah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah ke-12 di hadapan anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah yang dipengerusikan Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah.

Mukhriz semalam mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Menteri Besar Kedah berkuat kuasa serta-merta susulan kehilangan sokongan majoriti di Dun.

Ditanya perancangannya sebaik menjawat jawatan panas itu, Ahmad Bashah berkata yang paling penting adalah memastikan perpaduan antara pemimpin dan rakyat kembali bertaut setelah dua minggu krisis politik melibatkan jawatan Menteri Besar.

"Kami perlu meneruskannya untuk melihat hasrat rakyat tercapai. Kalau tidak ia akan menyebabkan berlaku masalah di peringkat pentadbiran.

"Semasa dua minggu krisis ini berlaku, mungkin ada sedikit sebanyak yang terguris dan kita nak ubati kembali," katanya.

Ahmad Bashah berkata antara perancangan penting yang akan dilakukannya adalah untuk memastikan Kedah terus kekal di bawah kuasa BN serta meneruskan agenda pembangunan yang memberikan manfaat kepada rakyat.

"Kedua-dua ini penting dan perlu bergerak seiring kerana rakyat mahu melihat perubahan berlaku kerana jika perkara itu tidak dilakukan, rakyat tidak akan memberikan sokongan kepada kita (kerajaan)," katanya. - Bernama


Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.