Sehingga kini jumlah keseluruhan KIR berdaftar dalam e-Kasih adalah 102,549 orang, kata Fatimah

KUCHING: Sarawak masih lagi mencatat jumlah kemiskinan tertinggi di Malaysia, dedah Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah.

Beliau memberitahu, sehingga 22 September 2014, jumlah keseluruhan ketua isi rumah (KIR) yang berdaftar dalam e-Kasih adalah seramai 102,549 orang.

Jelasnya daripada jumlah itu, seramai 26,335 KIR berpendapatan kurang daripada RM600 sebulan dan dikategorikan sebagai miskin tegar, 31,441 KIR berpendapatan RM920 sebulan pula dikategorikan sebagai miskin dan seramai 9,633 KIR berpendapatan RM1,500 pula mudah miskin.

Menurutnya, seramai 35,140 KIR daripada jumlah itu pula dikategorikan sebagai terkeluar setelah mengikuti program yang dilaksanakan dalam e-Kasih.

“Kita masih lagi berada di kedudukan tertinggi senarai ketua isi rumah yang berdaftar dalam e-Kasih di Malaysia diikuti Sabah.

“Sebab itu, pasukan unit bergerak (Mobile Team) ini ditubuhkan, yang bersifat bersepadu dianggotai kesemua agensi kerajaan berkaitan bagi memastikan kumpulan sasar yang masih belum menerima bantuan dan berdaftar dapat perkhidmatan yang sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Program Pembasmian Kemiskinan Peringkat Negeri di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya di sini semalam.

Namun, Fatimah berkata jumlah KIR bagi tiga kategori iaitu miskin tegar, miskin dan mudah miskin menunjukkan penurunan jika dibandingkan jumlah keseluruhan pada 27 Jun lalu.

“Berbanding jumlah keseluruhan pada 27 Jun lalu, seramai 28,503 KIR dalam kategori miskin tegar berbanding jumlah keseluruhan pada 22 September menurun kepada 26,335 orang.

“Manakala jumlah keseluruhan pada 27 Jun bagi kategori miskin dan mudah miskin pula 31,032 KIR dan 10,833 orang menurun masing-masing kepada 31,441 orang dan 9,633 orang pada 22 September,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan pihaknya menerusi agensi pelaksana akan sentiasa turun padang bagi memastikan program pembasmian kemiskinan di negeri ini dapat dilaksanakan secara berkesan.

Pada masa sama, Fatimah menjelaskan pada tahun lalu pasukan unit bergerak telah berjaya melaksanakan program di lima kawasan utama (hotspot) terpilih dengan 676 daripada 2,072 bantuan telah diluluskan.

“Bagi 2014 kita memberi tumpuan kepada tiga lagi kawasan utama iaitu di kawasan Skim Penempatan Semula di Tegulang, Murum, kawasan Telok Melano dan Serabang, Lundu serta kawasan Nanga Baoh, Dalat untuk program pasukan unit bergerak ini,” ujarnya.

Justeru, beliau berharap program pasukan unit bergerak itu dapat memberi dan membantu golongan sasar di negeri ini dengan lebih berkesan.-Theborneopost


Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.