ALOR SETAR - Istana Anak Bukit dikhabarkan murka terhadap kumpulan yang cuba menyingkirkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah.

Mukhriz dalam satu kenyataan semalam berkata, Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah juga memaklumkan turut murka dengan keingkaran Exco menghadiri mesyuarat Rabu lalu.

“Selaku Pengerusi Umno Kedah, saya dengan rasa rendah diri memohon ampun kepada Sultan Kedah dan Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah di atas perbuatan segelintir ahli Umno yang telah mencemari kemuliaan Duli Tuanku Sultan dan kemeriahan majlis sambutan Hari Keputeraan Sultan Kedah,” katanya.

Oleh itu, Mukhriz mendesak semua 12 ketua Umno bahagian dan dua timbalan ketua Umno bahagian yang terlibat secara langsung mahupun tidak dengan sidang media pada 20 Januari lalu dan enam Exco yang tidak hadir Mesyuarat Exco pada 27 Januari lalu, segera memohon maaf secara rasmi kepada Sultan Kedah dan Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah.

Katanya, sehingga kemelut itu selesai, semestinya setiap Exco dan Adun melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Raja Pemerintah dan rakyat baginda, seperti yang termaktub di dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah.

“Di saat rakyat Kedah sedang bergembira meraikan ulang tahun keputeraan Sultan Kedah yang ke-88, sekumpulan pemimpin Umno negeri ini telah bertindak mendesak saya berundur dari jawatan menteri besar.

“Tindakan 12 Ketua Bahagian dan dua Timbalan Ketua Bahagian mengheret sama ketua-ketua sayap dan pemimpin muda dalam Umno mengadakan sidang media di Alor Setar pada 20 Januari lalu adalah tidak bertanggungjawab,” katanya.

Menurutnya, perbuatan kumpulan itu telah mencemar pelbagai acara sambutan ulang tahun keputeraan Sultan Kedah.

“Saya menerima khabar sesungguhnya Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah tersinggung dengan perbuatan kumpulan tersebut.

“Yang lebih dikesali apabila tindakan itu disertai beberapa Exco yang sudah berikrar taat setia kepada Raja Pemerintah ketika mengangkat sumpah jawatan masing-masing,” katanya.

Mukhriz berkata, turut mendukacitakan apabila enam daripada sembilan Exco tidak menghadiri Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kedah minggu lalu.

“Ini jelas sekali menyalahi peraturan pelantikan mereka sebagai penjawat awam dan ingkar dengan sumpah jawatan yang diangkat di hadapan Raja Pemerintah, seperti yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah.

“Sebagai Exco, keengganan menghadiri Mesyuarat Exco menjejaskan proses pentadbiran dan perancangan yang telah diatur kerajaan negeri dalam melaksanakan program dan aktiviti pembangunan untuk rakyat,” katanya. -Sinarharian

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.