Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menzahirkan rasa syukur di atas pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu hari ini.

Ahmad Bashah berkata, dengan pelantikan itu beliau berjanji untuk meneruskan kesinambungan pembangunan di Kedah seperti sebelum ini.

"Alhamdulillah, terima kasih atas perkenan Ahli-ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah melantik saya sebagai MB Kedah, saya juga mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri, di atas kepercayaan yang telah diberikan kepada saya untuk menerajui negeri Kedah.

"Untuk itu, agenda yang penting bagi saya sekarang ialah membawa pembangunan yang berterusan kepada rakyat," katanya dalam satu temu bual bersama Astro Awani, hari ini.

Dalam pada itu, katanya, beliau akan berusaha untuk menarik semula sokongan rakyat terhadap Umno dan BN di Kedah.

Katanya, beliau berpandangan bahawa kepercayaan rakyat kepada Umno di Kedah tidak tergugat kerana apa yang berlaku buat waktu ini bukanlah satu krisis sebaliknya hanya peralihan kuasa.

"Ya, saya akan menarik semula undi, bagi saya apa yang berlaku kini adalah satu peralihan kuasa bukanlah satu krisis sepertimana yang disebut-sebut,  oleh itu kita tidak berpecah," katanya.

Sementara ketika ditanya tentang adakah beliau akan merombak semula kedudukan Exco, Ahmad Bashah berkata, beliau akan memaklumkan perkara itu kemudian.



Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.