KLANG (Bernama) -- Untuk menjaga kesihatan tubuh badan, ada yang melakukan senaman aerobik, berenang, jogging, mengayuh basikal atau pergi ke gimnasium.

Sudah tentunya juga, dalam usaha untuk mencari kaedah yang lebih baik untuk kekal sihat, kita sering mencari alternatif.

Namun berapa ramai yang sedar kita sebenarnya boleh menggunakan teknik senaman silam tetapi berkesan, seperti yang telah diamalkan beribu-ribu tahun-tahun lamanya, iaitu yoga.

Menurut pengasas dan presiden Malaysia Pranava Yoga Therapy Centre (MPYTC), M.Raajamanikam, 79, yoga semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia untuk bukan sahaja mengekalkan kesihatan yang baik tetapi juga bagi merawat penyakit kronik.

"Sudah tentunya anak muda hari ini lebih suka ke gimnasium untuk kekal sihat dan membina otot.

"Tetapi berapa ramai yang benar-benar tahu mereka sebenarnya boleh memperolehi manfaat fizikal serta mental untuk tubuh badan serta minda dengan mengamalkan yoga," kata beliau kepada Bernama dalam satu wawancara eksklusif.

Yoga yang pada asalnya dipersembahkan dalam upacara keagamaan di India sekitar 10,000 tahun telah melalui evolusi menjadi satu bentuk senaman bukan setakat untuk relakskan tubuh badan tetapi juga minda.

Raajamanikam berkata yoga, sekiranya diamalkan secara konsisten boleh membantu mencegah atau mengurangkan kesan beberapa penyakit lazim terutamanya asma, masalah sinus, sembelit, masalah perut dan malahan diabetes.

FAEDAH YOGA

Raajamanikam, yang telah mengamalkan yoga selama hampir 45 tahun berkata manfaat utama yoga termasuk menambahbaik kelenturan otot serta peredaran darah, postur yang betul, meningkatkan stamina, mewujudkan keseimbangan di samping memperbaiki cara pernafasan.

Guru yoga yang berpangkalan di Klang ini yang mengamal yoga 'Hatha' berkata yoga mampu meningkatkan gaya hidup seseorang di mana "menerusi kaedah yoga yang betul, orang itu akan dapat melihat perubahan mendadak dalam kemampuan mental serta fizikal."

Kita juga mempunyai asanas (postur) untuk wanita yang mengandung yang boleh membantu mereka menangani gejala kehamilan, memudahkan proses kelahiran dan penyembuhan yang lebih pantas selepas melahirkan anak.

Menurut beliau, anak-anak seawal usia tiga tahun boleh mempelajari yoga di mana menerusi senaman ini mereka boleh membangunkan disiplin diri di samping meningkatkan kesihatan fisikal dan mental.

"Asana adalah baik untuk mengembangkan koordinasi tubuh dan membantu memperbaiki daya tumpuan serta ingatan.

"Latihan yang kerap dapat membantu anak muda mengekalkan kelenturan semula jadi untuk tempoh yang lama," katanya.

Raajamanikam berkata terdapat lebih daripada lapan juta asana yoga (postur) di mana setiap satu gerakan dikatakan berguna untuk masalah tertentu berkaitan dengan tubuh.

"Bagaimanapun, mengetahui setakat 84 postur sudah cukup memadai untuk kekal sihat," katanya.

ADA PERATURAN SEBELUM MULAKAN YOGA

Sebelum memulakan yoga, seseorang itu perlu memilih tempat yang bersih serta dengan pengudaraan yang baik.

Menurut Raajamanikam, memilih pakaian yang sesuai iaitu kemeja-T yang longgar serta seluar trek dan tikar yoga berukuran 3X6 kaki adalah penting untuk melancarkan senaman yoga.

"Waktu terbaik untuk berlatih yoga adalah pagi dan petang. Waktu perlu ditetapkan dan tidak boleh ditukar sesuka hati. Mereka yang mempunyai penyakit digalakkan membuat latihan kira-kira tiga atau empat kali di bawah bimbingan guru yoga," katanya.

Beliau menasihatkan pengamal yoga supaya membuat latihan yoga ketika perut kosong iaitu empat jam selepas makan.

YOGA SEMAKIN DIMINATI DI SELURUH DUNIA

Raajamanikam, penerima 'Anugerah Pencapaian Seumur Hidup' Persatuan Sukan Yoga Malaysia berkata semakin ramai orang mula sedar tentang faedah yoga sejak 21 Jun diisytihar sebagai Hari Yoga Antarabangsa oleh Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada 11 Dis 2014.

Ide Hari Yoga Antarabangsa dicadangkan oleh Perdana Menteri India Narendra Modi di UNGA di mana beliau menganggap yoga sebagai "pendekatan holistik untuk kesihatan serta kesejahteraan di samping menyingkap rasa bersatu dengan diri, dunia dan alam semulajadi."

Menurut Raajamanikam, kerajaan perlu memberi lebih banyak pengiktirafan bagi yoga dengan memperuntukkan dana khas bagi pengembangan yoga demi kebaikan masyarakat.-BERNAMA

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.