KOTA KINABALU, 10 Nov — Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendakwa beliau tidak sedar akan larangan memakan telur penyu, selepas tersebar gambar beliau dihidangkan telur spesies terancam itu.

Menteri kemajuan luar bandar dan wilayah berkata beliau tidak bertanggungjawab menyediakan menu makan malam itu dan menganggap tuduhan menyalahkan beliau sebagai tidak adil.

“Bagi saya yang penting, pilihan kita buat. Hendak makan, tidak makan,” kata beliau kepada pemberita di sini.

“Saya sebenarnya, saya terus terang, saya tidak tahu pun ada akta melarang. Tapi itu bukan isu bagi saya, itu bukan isu. Yang penting makan atau tidak.”

Ismail Sabri dikritik minggu lepas susulan gambar itu yang tersebar di Facebook, yang dikatakan diambil di satu majlis Umno di sebuah restoran di Sandakan.

Ia menunjukkan Ismail Sabri duduk di meja dengan sepinggan penuh telur penyu, namun tidak kelihatan beliau memakan hidangan tersebut. Beliau duduk semeja dengan tujuh lagi tetamu, termasuk ketua bahagian Beluran dan juga wakil rakyat Sugut, Datuk James Ratib.


Sumber : Themalayonline.com


Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.