KOTA KINABALU: Dua anggota polis parah ditembak dipercayai menggunakan senapang buatan sendiri ketika membuat serbuan kes berkaitan dadah di Jalan Sepanggar, berhampiran bulatan Pusat Komersil Salut, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, dua anggota terbabit, Sarjan Major Sabturani Maul yang mengalami kecederaan di kepala manakala rakannya, Konstabel Tong Wilson cedera di kepala, badan dan hidung.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, berkata kejadian berlaku selepas pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah itu berjaya menahan salah seorang daripada suspek yang disyaki ahli kumpulan pengedar dadah berbahaya.

"Seorang lagi suspek berjaya melarikan diri ke ke arah sebuah bukit di kawasan itu, dan ketika menjalankan pemeriksaan terhadap suspek yang ditangkap, satu das tembakan dilepaskan, dipercayai dari arah bukit terbabit.

"Berikutan tembakan itu, dua anggota mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 2 (QEH2) untuk rawatan lanjut," katanya.

Jalaluddin berkata, polis turut menemui dua paket plastik berisi syabu daripada suspek.


Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.