Akibat dadah, seorang cucu sanggup membunuh neneknya dengan 12 tikaman di badan apabila hasrat untuk meminta wang tidak ditunaikan warga emas itu, semalam.

Kejadian menyayat hati itu berlaku kira-kira pukul 7 malam di ruang tamu rumah mereka di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya di sini.

Mangsa, Mallina Udin, 75, sebelum itu dikatakan berkeras tidak mahu memberikan wang kepada suspek yang mahu membeli dadah dipercayai jenis syabu.

Suspek yang merupakan anak yatim piatu dan dijaga oleh mangsa sejak kecil itu berang lalu bertindak agresif menikam mangsa dengan enam tikaman di bahagian depan dan enam lagi di bahagian belakang badan.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner M. Chandra berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 7.10 malam.

Menurutnya, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bergegas ke rumah tidak bernombor di kampung itu sebelum menemukan mayat seorang wanita berlumuran darah di ruang tamu rumah.

“Turut berada dalam rumah ialah suspek yang memegang parang, pisau dan gergaji,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Chandra, mayat wanita warga emas itu ditutup dengan sejadah dari leher hingga ke kaki selain senaskhah surah Yasin diletakkan di atas dada mangsa.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihaknya telah menjalankan rundingan dengan suspek yang dikenali sebagai Malson Utoh untuk menyerah diri selama hampir dua jam sebelum suspek bertindak agresif cuba me­nyerang pihak polis.

Bagi mempertahankan diri katanya, pihak polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan sebelum suspek terkena tembakan dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kece­deraan di badan dan kaki.

“Mangsa dan suspek baru sahaja pindah ke kampung tersebut sejak Mac lalu dan sebelum ini tinggal di Tanjung Aru. Kedua-duanya tinggal bersama lima lagi individu dipercayai ahli keluarga mereka.

“Bagaimanapun, lima ahli keluarga mereka melarikan diri sebaik sahaja suspek bertindak menikam neneknya,” kata Chandra.

Tambah beliau, pihaknya percaya suspek bertindak demikian ekoran tindak balas dadah yang diambil dan siasatan ke atas dokumen pengenalan dirinya amat meragukan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 dan 302 Kanun Keseksaan.-Utusan


MESTI TONTON: [VIDEO] Seorang penganggur tikam ibu bapa direman

MESTI TONTON: [VIDEO] Lelaki kejam tikam bekas tunang

MESTI TONTON: [VIDEO] Dua beradik ditahan tikam bapa tiri

MESTI BACA: Isteri ditikam suami 20 kali akibat cemburu

MESTI BACA: Pasangan suami isteri ditikam anak angkat




Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.