Pelarian berdosa besar dakwa IS


Dubai: Sebuah majalah yang diterbit kumpulan Militan Negara Islam (IS) mendakwa rakyat Syria dan Libya yang melarikan diri dari negara itu untuk ke Eropah melakukan dosa besar kerana mendedahkan anak mereka kepada ajaran ateisme, dadah, arak dan seks bebas.

Puluhan ribu penduduk melarikan diri dari peperangan di Asia Barat pada tahun ini terutama, di bandar yang dikuasai atau diancam IS.

Mereka menyeberangi Laut Mediterranean untuk ke Eropah dengan menaiki bot yang sesak dan kadangkala karam akibat terlebih muatan.

Situasi itu dianggap sebagai gelombang pelarian terbesar sejak Perang Dunia Kedua.
Majoriti pelarian ini berasal dari Syria, Iraq dan Libya yang terjejas akibat konflik yang sering berkaitan dengan militan IS.

“Sedihnya, sebilangan rakyat Syria dan Libya sanggup menggadai nyawa dan jiwa anak mereka.
“Mereka sanggup mengorbankan diri untuk perjalanan berbahaya ke negara yang melancarkan perang salib dan diperintah undang-undang ateisme,” kata majalah Dabiq terbitan IS.

Kata majalah itu lagi, banyak keluarga yang melarikan diri ke Eropah berasal dari kawasan yang dikuasai rejim Presiden Syria Bashar al-Assad dan Kurdis yang menentang IS.


Comments

Popular posts from this blog

Rahsia Dusun Bonggi

Nostalgia - Nahas helikopter Melibatkan Tan Sri Yahya Ahmad

Raja bomoh Ibrahim Mat Zin pembohong