Kereta terbakar dipercayai mirip model kereta Kevin Morais ditemui

HUTAN MELINTANG: Sebuah kereta dijumpai rentung di kawasan ladang kelapa sawit, Kampung Sungai Samak, di sini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Mohd Shuhaily Mohd Zain ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan penemuan kereta berkenaan dipercayai jenis Honda Accord.

"Kenderaan tersebut ditemui orang awam sekitar jam 10 pagi tadi, yang kemudian menghubungi pihak polis," jelas beliau.

Bagaimanapun pihaknya masih cuba mencari dan mengenal pasti jenis kereta dan nombor casis kenderaan untuk siasatan lanjut.

Mengulas mengenai kemungkinan kenderaan berkenaan milik bekas Timbalan Pengarah Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kevin Anthony Morais yang dilaporkan hilang sejak Jumaat, beliau berkata pihaknya perlu menjalankan siasatan lanjut.

"Akibat impak kebakaran, kenderaan tersebut rentung sepenuhnya, dan pihak forensik gagal mengenal pasti nombor chasis, sehubungan itu pihak kami masih lagi cuba mencari kaedah lain untuk mengenal pasti kenderaan terbabit," jelasnya.

Siasatan awal juga tidak menemui kesan lain dalam kenderaan itu.

"Tiada mayat ditemui, hanya kereta sahaja," jelas Mohd Shuhaily.

Laporan polis berhubung kehilangan Morais dibuat ahli keluarganya pada petang Sabtu selepas dia gagal dihubungi.

Morais dari Jabatan Peguam Negara sebelum ini berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Pendakwaan di SPRM.
Difahamkan kali terakhir dia dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta untuk keluar bekerja pada pagi Jumaat lalu, menggunakan kenderaan rasmi kerajaan dengan nombor pendaftaran WA 6264 Q.

Sidang media berkenaan penemuan kenderaan itu dijangka diadakan sekitar 3 petang ini.


loading...

Comments

Popular posts from this blog

Rahsia Dusun Bonggi

Nostalgia - Nahas helikopter Melibatkan Tan Sri Yahya Ahmad

Senarai Rasuah KM Sabah & Sarawak..? SPRM tutup mata..