Himpunan Baju Merah #Himpunan169, Wawasan Sutra Terima Padah

KUALA LUMPUR: Universiti Taylor's Malaysia menamatkan kontrak pengusaha bas Wawasan Sutera Travel and Tours kerana dilapor menggunakan bas yang memaparkan logo universiti berkenaan untuk membawa penyokong ke Himpunan Rakyat  Bersatu pada 16 September 2015.

Perkara itu mendapat perhatian pihak universiti selepas foto penyokong perhimpunan turun dari bas berkenaan mula viral di media sosial, sehingga segelintir pelajar mendesak pihak universiti untuk memberi penjelasan atas insiden itu.

Menerusi satu kenyataan dalam Facebook semalam, pihak Taylor's mengumumkan bahawa kontrak mereka bersama Wawasan Sutera telah ditamatkan.

"Pihak pengurusan telah mengkaji semula kontrak dengan pengusaha bas dan mengambil keputusan untuk menamatkan kontrak, selaras dengan terma dan syarat-syarat, berkuat kuasa hari ini."

Difahamkan, Wawasan Sutera akan meneruskan perkhidmatan dengan Universiti Taylor's sehingga 16 November 2015, atas syarat notis dua bulan untuk penamatan kontrak.

Terdahulu, pihak pengurusan Universiti Taylor's mengeluarkan satu kenyataan pada 16 September yang menjelaskan bahawa pihak mereka tidak menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada penyokong himpunan baju merah.

"Kami ingin menegaskan bahawa pengurusan universiti tidak menawarkan perkhidmatan bas untuk tujuan perhimpunan itu serta bas berkenaan tidak digunakan untuk membawa pelajar-pelajar kami ke perhimpunan tersebut.

"Kami kesal dengan penglibatan Universiti Taylor's  secara tidak sengaja dalam acara ini.” -ASTROAWANI


Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.