Anina beri amaran kepada Tengku Adnan Tengku Mansor

Ku Nan tidak menjalankan tugas dengan baik sehingga gagal mempertahankan dan melindungi aset parti Umno menyebabkan sejumlah AS$650 juta hilang daripada akaun Umno dan dilarikan ke akaun bank di Singapura yang bukan milik Umno.-ANINA

Selepas menyaman Datuk Seri Najib Razak, bekas anggota Umno Kedah Anina Saadudin hari ini mengugut mengambil tindakan terhadap setiausaha agung parti itu pula.

Anina memberi kata dua kepada Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk menarik balik surat perlucutan keanggotannya atau berdepan dengan tindakan yang akan diambil.

"Saya dengan penuh hormat meminta Datuk Seri (Tengku Adnan) untuk menarik balik dan membatalkan surat Datuk Seri tersebut dalam tempoh tiga hari bekerja selepas surat ini.

"Andai kata Datuk Seri gagal berbuat demikian, saya akan memegang hak untuk mengambil tindakan terhadap Datuk Seri kerana melanggar peraturan parti dan gagal mempertahankan dan melindungi aset parti Umno sehingga sejumlah AS$650 juta hilang daripada akaun Umno dan dilarikan ke akaun bank di Singapura yang bukan milik Umno ," katanya.

Perkara itu dinyatakan dalam sebuah notis empat muka surat kepada Tengku Adnan yang akan diserahkan hari ini.

Anina berkata demikian pada sidang media di pejabat peguamnya di Kota Damansara hari ini. -Malaysiakini.com


Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.