Tomato putih cerahkan kulit


Masalah pigmentasi pada kulit adalah perkara biasa dalam kalangan kita, namun kehadirannya kerap tidak menyenangkan kerana bagi yang menghidapinya ia menjejaskan penampilan dan keyakinan diri kerana menyebabkan kulit kelihatan tidak sihat.

Gangguan pigmentasi berkait rapat dengan bilangan pigmen pada kulit iaitu melanin yang dibentuk oleh sel dinamakan melanocytes (melanosit). Melanin juga sumber yang memberi seseorang itu kulit warna semula jadi.
Peningkatan bilangan melanin menyebabkan kulit bertambah gelap dan keadaan ini dinamakan hipermelanosis atau hiperpigmentasi, manakala kekurangan atau kehilangan melanin menyebabkan kulit lebih cerah dinamakan hipomelanosis atau hipopigmentasi.

Rambut juga mengandungi melanocytes dan kehilangan pigmen menyebabkan rambut berwarna putih. Gangguan pigmentasi pada kulit seperti melasma atau jeragat, vitiligo atau kemusnahan melanocytes, panau (tinea versicolor), perubahan pigmen (akibat kulit cedera atau terbakar), kulit berkerak dan kehitaman (Acanthosis Nigricans) dan tompokan tanda lahir (Cafe-au-Lait Macules).

Punca gangguan pigmentasi disebabkan pelbagai faktor seperti masalah autoimun, tindak balas kepada ubat, jangkitan kulat, genetik, ketidakstabilan tahap hormon dan pendedahan kepada cahaya matahari.

Masalah pigmentasi yang kerap berlaku adalah melasma yang menyebabkan warna kulit lebih gelap, bertompok keperangan atau tidak sekata. Masalah ini juga lebih kerap dialami wanita dan hanya 10 peratus kes membabitkan lelaki disebabkan melasma biasanya berkaitan perubahan tahap hormon ketika kehamilan, pengambilan pil kontraseptif oral untuk mencegah kehamilan, terapi penggantian hormon dan gangguan endokrin.

Melasma mudah dikenal pasti melalui ciri tompokan perang muda atau perang kelabu pada bahagian kulit dahi, pipi, bibir atas, hidung dan dagu, manakala ujian biopsi menunjukkan peningkatan pigmen pada epidermis dan dermis dijalankan bagi mencari punca lain gangguan pigmentasi.

Pakar kulit percaya, punca utama permulaan dan penularan melasma ialah pendedahan kepada cahaya ultra ungu (UV) matahari. Namun, melasma yang berlaku ketika usia remaja disebabkan faktor genetik dan menjadi lebih buruk akibat pendedahan berlebihan kepada cahaya matahari.

Malangnya, melasma tidak boleh disembuhkan, sebaliknya ia ha­nya boleh dirawat atau dikurangkan menerusi kaedah paling asas iaitu perlindungan daripada cahaya UV. Melindungi kulit dengan cara ini mampu mencegah melasma sedia ada menjadi semakin buruk, di samping mencegah melasma baru daripada terbentuk.

Walaupun melasma berjaya dirawat, pendedahan kepada cahaya UV tanpa perlindungan boleh menyebabkan gangguan pigmentasi ini menyerang semula. Bagi melindungi kulit daripada cahaya UV, kita mungkin boleh menyapu krim pelindung, memakai payung atau topi ketika di luar rumah dan rawatan kosmetik lain termasuk pengambilan suplemen.

Seiring dengan perkembangan teknologi, rawatan untuk melasma kini lebih selamat dan berkesan, contohnya penggunaan karotenoid tidak berwarna yang diekstrak daripada tomato putih yang diubah suai bukan secara genetik.

Karotenoid adalah pigmen organik yang ditemui dalam kloroplas dan kromoplas tumbuh-tumbuhan serta organisma fotosintetik termasuk bakteria dan kulat. Karotenoid juga punca warna kuning, oren dan merah pada kebanyakan sayuran dan buahan seperti lobak, tomato, labu dan jagung. Pigmen organik yang biasa ditemui adalah beta karotina yang memberi warna oren pada lobak dan lycopene yang memberi warna merah pada tomato biasa.

Pakar Biologi Kulit dan Penyelidik Kosmetik, Dr Alain Khaiat berkata, tomato putih mengandungi kepekatan tinggi karotenoid tidak berwarna iaitu phytoene dan phytofluene yang boleh memutihkan kulit, sebaliknya karotenoid oren atau merah pada tomato biasa mampu mengubah warna kulit kepada perang atau lebih gelap jika diambil dalam jumlah yang banyak.

Phytoene dan phytofluene adalah bahan pencerah semula jadi paling cekap dan terbukti secara saintifik mendatangkan manfaat kepada kulit dengan bertindak sebagai pelindung daripada kerosakan disebabkan cahaya UV dan foto oksida.

Karotenoid ini juga menghalang sintesis melanin bagi mencegah tompokan pigmentasi dan mengurangkan kehadiran melanin dalam sel termasuk parut akne, jeragat, hitam bawah ketiak dan tanda penuaan. Kandungan antioksida dalam pigmen ini juga mencegah kerosakan akibat radikal bebas dan antiradang.

“Kajian menunjukkan karotenoid tidak berwarna ini selain mengandungi antioksida dan antiradang, ia juga menyerap sinaran UVA dan UVB. Oleh itu, pigmen ini menyekat pembentukan melanin dan mengurangkan melanin sedia ada dalam sel. Data juga menunjukkan karotenoid tidak berwarna yang diambil secara oral akan memekat dalam kulit menyebabkan kulit semakin cerah.

“Kesan pencerahan kulit bukan setakat di bahagian muka yang terjejas melasma, malah ia turut memutihkan keseluruhan tubuh. Walaupun manfaat utama karotenoid tidak berwarna adalah untuk mencerahkan kulit, tetapi kandungan antioksida juga mencegah pembentukan radikal bebas yang menjadi punca utama penuaan,” katanya di ibu negara, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika dijemput menjadi penceramah undangan sempena pelancaran produk pencerahan kulit, Crystal Tomato Plus, yang diperkenalkan syarikat makanan suplemen, Gromark Consumers Enterprise Pte Ltd, dari Singapura tetapi dihasilkan di makmal di Amerika Syarikat.

Crystal Tomato Plus mendapat kelulusan Biro Kawalan Farmasi Kebangsaan (BKFK), Kementerian Kesihatan dan diedarkan di pasaran tempatan oleh Vennbio Nutriceutical Sdn Bhd.

Menurut Dr Alain, Crystal Tomato Plus yang didatangkan dalam bentuk pil juga adalah hasil penyelidikan dan pembangunan lebih 10 tahun pihak berkenaan dalam menemukan formula berkesan menentang gangguan pigmentasi. Pengambilan sebiji pil pencerah kulit itu umpama memakan tiga tomato putih.

“Bagi mempercepatkan kesan pencerahan pigmentasi yang gelap, bahan L-cysteine ditambah dalam produk ini untuk mengaktifkan pengeluaran glutathione. L-cysteine adalah asid amino yang diubah oleh proses kimia dalam tubuh menjadi glutathione.
“Glutathione berfungsi menukar melanin coklat gelap kepada melanin merah muda. Namun, itulah masalahnya glutathione ini walaupun diambil secara oral atau sapuan pada kulit ia tidak diserap oleh tubuh sebaliknya terus disingkirkan. Hanya L-cysteine yang diubah menjadi glutathione boleh diserap tubuh.

“Disebabkan Crystal Tomato Plus diekstrak 100 peratus daripada tomato putih semula jadi, ia tidak mendatangkan kesan sampingan. Namun, pengambilannya juga memerlukan nasihat doktor kerana ada segelintir orang yang alah pada tomato atau tidak boleh makan tomato atas sebab tertentu,” katanya.- www.hmetro.com.my


Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.