Tidak salah mana-mana ahli politik terima dana dari luar

KOTA TINGGI - Mana-mana ahli politik daripada pembangkang mahupun kerajaan, bebas menerima sumbangan atau bantuan kewangan dari negara luar, selagi tiada undang-undang yang menghalang serta mengawal selia kemasukan dana politik itu di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Malaysia tidak seperti sesetengah negara yang mempunyai peraturan khas untuk mengekang ahli politik menerima dana daripada para penyokong.
 
"Jadi, sekarang kalau nak bercakap pasal Barisan Nasional (terima dana politik), saya nak beritahu parti pembangkang pun banyak terima.
 
"Contohnya, ketika sidang Parlimen berlangsung, saya lihat ramai ahli-ahlinya keluar masuk Dewan dan pergi ke luar negara kerana dijemput untuk bercakap di platform antarabangsa...siapa yang bayar, " katanya.
 
Beliau menyatakan demikian sebagai reaksi terhadap tuntutan pembangkang agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan sumber pembiayaan politik Umno, pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di sini, hari ini.
 
Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, jika pembangkang masih merasakan sumbangan politik itu adalah sesuatu yang diperlu dikawal selia, maka mereka perlu mengusulkan perkara itu dalam persidangan Dewan Rakyat.
 
"Untuk berlaku adil, saya sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam Hal Ehwal Parlimen berjanji akan mengkaji sendiri usul yang diberikan," katanya.
 
Dalam perkembangan lain, Azalina berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Panglima Dr Mohd Salleh Tun Said Keruak minggu depan bagi membincangkan pindaan semula Akta Komunikasi Dan Multimedia.
 
Menurutnya, ketiadaan pindaan terhadap akta itu ketika ini mengakibatkan kerajaan sukar mengambil tindakan terhadap mana-mana pengamal media sosial yang didapati tidak bertanggungjawab dengan laporan mereka.
 
"Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, hanya keluarkan lesen (kepada organisasi media sosial) bukannya penguatkuasaan... Di Singapura, mereka boleh didakwa dan tangkap.
 
"Sekarang ini, kita cuma perlu tengok sama ada perlu dibuat satu mahkamah khas seperti Mahkamah Multimedia ke, atau kedua, kita tengok kepada andaian bersalah...sehingga anda dibuktikan tidak bersalah," katanya.  

Azalina berkata, draf pindaan akta tu difahamkan sedang dibuat dan dijangka dibentang di Parlimen pada Oktober ini. - Bernama


Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.