Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor melarang peserta demonstrasi BERSIH mengadakan demonstrasi di tempat awam seperti Dataran Merdeka dan Padang Merbok.

Sebaliknya beliau mencadangkan peserta demonstrasi itu mengadakan perhimpunan di Stadium Melawati, Shah Alam dengan apa juga keadaan termasuk berbogel.

"Sekiranya mereka ingin berbuat demikian (demonstrasi), mereka boleh pergi ke stadium yang mereka mahu.

"Pergi Stadium Melawati dekat Selangor lah. Buatlah apa-apa yang mereka mahu, menjerit, mahu berbogel, buatlah sesuka hati kamu," katanya selepas majlis perasmian Taman Penajaan Taman Angkat DBKL Eco City di Kuala Lumpur.

Sebelum ini Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak membenarkan permohonan BERSIH untuk mengadakan perhimpunan pada 29 dan 30 Ogos ini di Dataran Merdeka dan Padang Merbok.

Datuk Bandar Datuk Amin Nordin berkata pada tarikh sama, Dataran Merdeka akan digunakan untuk kerja-kerja persediaan untuk perarakan hari merdeka.

Beliau yang juga MP Putrajaya berkata kerajaan sekarang cukup baik kerana membenarkan demonstrasi diadakan tetapi di tempat yang tertutup.

"Mereka mahu tempat (untuk) lakukan tunjuk rasa kami setuju.

"Kerajaan begitu baik sehingga membenarkan mereka melakukan tunjuk rasa tetapi haruslah dilakukan di tempat tertutup bukannya di tempat awam,” katanya.


Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.