Serpihan di Pulau Reunion Sah Milik MH370

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengesahkan serpihan yang ditemui di Pulau Reunion daripada pesawat MH370 yang hilang.

“Hari ini, 515 hari sejak hilangnya pesawat, dengan berat hati saya harus maklumkan bahawa pasukan pakar antarabangsa dengan muktamad mengesahkan bahawa serpihan pesawat yang ditemui di Pulau Reunion daripada MH370.

“Kita sekarang mempunyai bukti fizikal, seperti saya umumkan tahun lalu bahawa pesawat MH370 dengan tragisnya berakhir di selatan Lautan Hindi,” katanya.

Walaupun mungkin berat dan memilukan, Najib berharap ia dapat memberikan kepastian kepada anggota keluarga kepada 239 orang yang berada di dalam pesawat itu.

Beliau memberi jaminan Malaysia akan melakukan apa yang boleh untuk mencari kebenaran di sebalik tragedi itu.

MH370 hilang daripada radar pada 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Bernama melaporkan kenyataan penuh perdana menteri mengenai pesawat MH370:

Pada 8 Mac 2014, penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing hilang. Hari,minggu dan bulan yang mendatang menjadi tempoh yang cukup menyiksakan bagi keluarga mereka yang berada dalam pesawat itu.

Pesawat itu hilang tanpa duluan. Di setiap peringkat, kami hanya mengikuti bukti sekecil mana yang ada. Namun, usaha 26 negara serta pencarian terbesar dalam sejarah penerbangan, dari Laut China Selatan ke Lautan Hindi, masih gagal mengesan pesawat itu.

Malah, pakar penerbangan dunia gagal memberikan jawaban mengapa MH370 terpesong daripada laluannya dan hilang. Ketika kehilangan pesawat itu kekal satu misteri, kami berkongsi keperitan keluarga mereka.

Minggu lalu, pada 29 Julai, kami dimaklumkan oleh pihak berkuasa Perancis bahawa sebahagian daripada sayap pesawat ditemui di Reunion, sebuah pulau kecil milik Perancis di Lautan Hindi.

Hari ini, 515 hari selepas pesawat itu hilang, dengan hati yang berat saya perlu memberitahu anda bahawa pasukan pakar antarabangsa mengesahkan serpihan pesawat yang ditemui di Pulau Reunion adalah milik MH370.

Kami kini mempunyai bukti fizikal yang mana saya umumkan pada 24 Mac tahun lalu, pesawat MH370 secara tragik berakhir di selatan Lautan Hindi.

Ini adalah kawasan terpencil, bergelora dan berbahaya, dan sebagai mewakili Malaysia saya berterima kasih kepada banyak negara, pertubuhan dan individu yang terlibat dalam pencarian ini.

Beban dan ketidaktentuan yang dihadapi semua keluarga terlibat sepanjang tempoh ini memang sukar dijelaskan.

Saya berharap dengan pengesahan ini, walaupun tragik dan menyakitkan, ia setidak-tidaknya memberi kepastian kepada keluarga dan orang tercinta bagi semua 239 orang yang berada di dalam MH370. Kami turut bersimpati dan berdoa untuk mereka.

Saya ingin memberi jaminan kepada mereka yang terjejas akibat tragedi ini bahawa kerajaan Malaysia komited untuk melakukan apa yang terdaya untuk mencari kepastian apa yang sebenarnya berlaku.

Kehilangan MH370 menyebabkan kita bersatu sebagai satu bangsa. Kami berkabung bersama anda, sebagai satu negara.

Saya menjanjikan ini: Malaysia akan sentiasa memperingati mereka yang terkorban dalam MH370.

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.