Sendi bengkak, merah tanda penyakit gout


Penyakit gout sering dihidapi lelaki, namun wanita yang menopaus (putus haid) selain faktor keturunan dan tidak menjaga pemakanan turut terdedah kepada risiko penyakit ini. Rasa sakit sendi terutama pada bahagian ibu jari kaki antara tanda penyakit gout.

Sendi sakit apabila disentuh dan mungkin diikuti dengan demam menggigil akibat kesakitan yang teruk. Gout berlaku kerana dua faktor iaitu asid urik berlebihan dalam badan dan asid urik yang tidak dibuang secara berkesan daripada badan.

Ketidakseimbangan asid urik dalam badan berpunca daripada beberapa faktor antaranya keturunan, makanan yang kaya dengan purin, masalah buah pinggang, penggunaan ubat-ubatan tertentu serta masalah berat badan dan pengambilan alkohol berlebihan.

Perunding Bedah Ortopedik Pusat Perubatan Tropicana, Dr Hisham Kunhimon berkata, gout adalah penyakit monoarthritis yang menyebabkan keradangan sendi akut. Ini bermakna penyakit gout biasanya menyerang satu bahagian badan pada satu masa.

Penyakit ini menyerang secara tiba-tiba menyebabkan sakit sendi yang kuat dan bengkak serta merah.
“Penyakit gout disebabkan oleh pengumpulan hablur (kristal) asid urik yang membentuk jarum di sekitar sendi yang terbabit. Asid urik ialah bahan buangan daripada metabolisma purin iaitu satu bahan asas dalam DNA dan asid nukleik dalam sel.

“Pemusnahan sel dan juga penghadaman makanan yang tinggi purin akan menyebabkan kandungan asid urik dalam darah bertambah. Ginjal adalah organ yang membuang asid urik daripada badan melalui air kencing.

“Apabila ginjal tidak dapat atau tidak boleh membuang asid urik dihasilkan dalam badan, kandungan asid urik dalam darah akan bertambah. Keadan ini dipanggil hiperurisemia.

“Hiperurisemia akan menyebabkan asid urik mendap membentuk hablur di sekitar sendi tertentu. Hablur ini akan menyebabkan keradangan yang akut dalam sendi dipanggil gout,” katanya.

Menurutnya, antara simptom gout seperti sakit sendi yang akut dan kuat dan lazimnya datang secara tiba-tiba. Biasanya didahului oleh pemakanan juadah yang tinggi purin.

“Sendi yang biasa terbabit ialah pangkal ibu jari kaki yang juga disebut sebagai podagra. Sendi lain seperti buku lali kaki dan lutut.

“Sendi yang terbabit akan mengalami sakit yang kuat, bengkak dan merah. Simptom yang akut menyebabkan penyakit ini ada kalanya sukar dibezakan daripada jangkitan sendi apabila ia membabitkan sendi yang besar,” katanya.
Jelasnya, ramai masih salah anggap kononnya gout hanya menyerang golongan berusia sedangkan ia juga boleh menyerang golongan belia.

“Gout menyerang tanpa usia, namun ia lebih terdedah kepada lelaki berumur 40 hingga 50 tahun iaitu paling ramai menghidap penyakit ini.

“Walaupun ia tidak membunuh, kandungan asid urik yang tinggi dalam darah boleh menyebabkan pembentukan batu karang yang jika dibiar menyebabkan penyakit lebih serius seperti kerosakan ginjal,” katanya.

Pesakit gout turut dinasihat mengurangkan pengambilan makanan yang tinggi kandungan purin seperti makanan laut antara 100 hingga 150 miligram sehari.

Mengenai rawatan, beliau menjelaskan serangan gout akut memerlukan sendi direhatkan. Ubat penahan sakit boleh membantu mengurangkan sakit ketika serangan akut.

“Ubat seperti Colchicine juga membantu meredakan serangan gout yang akut selain minum air secukupnya bagi melawaskan asid urik keluar dalam air kencing. Mengurut bahagian yang terkena gout tidak dinasihatkan kerana akan memburukkan lagi serangan gout. Suntikan Cortisone ke kawasan terbabit juga boleh membantu.

“Ubat seperti Allopurinol boleh membantu mengurangkan paras urik asid pada pesakit yang kerap terkena serangan gout walaupun telah diikhtiar ke kaedah lain,” katanya - www.hmetro.com.my

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.