PUTRAJAYA - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mahu nama 20 ahli Parlimen BN, yang didakwa oleh pihak tertentu terbabit dalam komplot untuk menggulingkan kerajaan, dibersihkan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri menegaskan tindakan membersihkan nama individu berkenaan penting kerana kesemua ahli Parlimen itu tidak terlibat dalam usaha pihak tidak bertanggungjawab itu.

"Tidak ada seorang pun daripada 20 ahli Parlimen BN, sebagaimana terpapar di dalam blog tertentu, yang telah didekati untuk dibeli bagi menandatangani akuan bersumpah (menggulingkan kerajaan) itu.

"Saya ingin sahkan tidak ada seorang pun daripada 20 (ahli Parlimen) itu yang telah menandatangani akuan bersumpah berkenaan. Sebab itu, bersihkanlah nama mereka," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin di sini.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno berkata demikian sebagai mengulas laporan blog tertentu yang menyenaraikan nama 20 ahli Parlimen BN sebagai antara individu yang bekerjasama dengan pembangkang untuk membuat undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melalui  persidangan Dewan Rakyat pada Oktober depan.

Selain itu, pihak berkenaan juga dilapor mahu mengumpulkan tandatangan ahli Parlimen yang terlibat dengan akuan bersumpah untuk dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.  

Sabtu lepas, ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Ampang di ibu negara, Ahmad Zahid mendedahkan terdapat gerakan untuk mengguling kerajaan oleh pembangkang dan didalangi oleh seorang tokoh Umno yang juga pemimpin BN.

Beliau berkata rancangan itu dijalankan dengan cara untuk mendapatkan akuan bersumpah daripada ahli Parlimen pembangkang serta menarik ahli Parlimen BN menyokong gerakan mereka untuk menumbangkan kerajaan melalui 'jalan belakang'. - Bernama


Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.