Pesawat Trigana Air yang dipercayai terhempas bersama 54 penumpang dan anak kapal di sebuah kawasan pergunungan di Papua kelmarin dilaporkan membawa wang tunai berjumlah 6.5 bilion Rupiah (RM1.92 juta).

Laporan Kompas.com memetik Ketua Pejabat Pos Jayapura, FX Haryono sebagai berkata wang itu adalah peruntukan kerajaan untuk diagihkan kepada penduduk miskin di kawasan Papua sebagai bayaran ganti rugi ekoran kenaikan harga petrol, baru-baru ini.

"Wang tersebut dibawa oleh empat pegawai pos Jayapura dan sepatutnya dibayar kepada penduduk miskin di lapan buah daerah di sana, hari ini," katanya kepada wartawan di kem pencarian di Jayapura semalam.

Menurut Haryono lagi, empat pegawai pos yang menghantar wang ganti rugi ke kawasan Pergunungan Bintang itu ialah MN Aragae, Agustinus Luanmasse,  Yustinus Huruluen dan Teguh Sane.

Pesawat Trigana Air yang dalam penerbangan ke Oksibil, Papua terputus hubungan dengan menara kawalan selepas berlepas pada 2.22 petang dari Jayapura.

Pesawat itu sepatutnya tiba di destinasi pada 3.04 waktu tempatan.


Sementara itu, Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) Indonesia, memaklumkan pihaknya telah menemukan serpihan pesawat Trigana di kawasan tebing pergunungan di daerah Oktabe, Papua.

"Lokasi tersebut berada tujuh batu nautika atau 14 kilometer dari Lapangan Terbang Oksibil," kata Penolong Pegawai Operasi Basarnas, Mejar Jeneral Heronimus Guru.

Beliau berkata penemuan itu adalah berdasarkan pemantauan visual oleh tiga pesawat yang terbang merentasi lokasi kejadian.

Menurut Heronimus, pasukan mencari dan menyelamat juga yakin serpihan itu bangkai pesawat Trigana berdasarkan jalur laluan dan isyarat.

- Bernama


Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.