Antara nyanyian dan harapan, penyanyi Najwa Mahiaddin berharap kerjasama artis indie dengan kelompok arus perdana terjalin demi perkembangan industri muzik negara.

“Kerjasama (sebelum ini) sudah banyak, tetapi saya mahu kerjasama ini dipergiatkan lagi," katanya dalam pertemuan dengan Malaysiakini.

Sekiranya ramai pemuzik di negara ini berkecenderungan memikir hal sama, menurut Najwa, tidak timbul isu kumpulan berasingan dan bersaing membawa agenda masing-masing.

Kata penyanyi yang mendapat pendidikan di Kolej Muzik Berklee Boston itu, sepatutnya tidak wujud jurang antara kumpulan indie dan arus perdana supaya semua pihak dapat mempamerkan bakat muzik terbaik di Malaysia.

Sebenarnya Najwa bukanlah sembarang artis.

Di sebalik popularitinya menerusi gandingan nyanyian dengan Malique Too Phat dalam Kau Yang Punya, dia juga berkebolehan mencipta lagu serta menulis lirik.

Najwa juga adalah anak bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Namun Najwa tidak pernah menggunakan pengaruh bapanya untuk mencipta nama sama ada di dalam atau luar negara.

Berkelana dalam muzik

Bakatnya sudah diiktiraf dan pernah mengungguli kategori Artis Baru Terbaik dan Lagu Inggeris Terbaik dalam Anugerah Industri Malaysia ke-18.

Ketika masih belajar, Najwa memilih jurusan kejuruteraan namun jiwanya sering 'berkelana' dalam alam muzik, lantas membuatnya mengambil keputusan untuk beralih bidang pengajian.

Berkeras untuk melaksanakan impiannya itu, dia mendapat sokongan daripada keluarga memandangkan ibu bapanya melihat sendiri minat dalam bidang muzik sejak Najwa kecil.

Najwa bercerita, muzik diminatinya sejak kanak-kanak dan masih ingat bagaimana dia - ketika berusia tiga tahun - terpukau menyaksikan kakaknya bermain piano.

Kini Najwa menjadi pemilik syarikat Nada Biru Muzik dan sudah menerbitkan dua album, Innocent Soul (2011) dan Aurora (2014).

Bagi Najwa, industri muzik di negara ini kukuh, dan diwarnai oleh dua komuniti berbeza iaitu kumpulan arus perdana dan pemuzik indie.

Mengakui tidak bermasalah dengan kewujudan dua aliran itu, Najwa berkata, penggiat seni indie sebenarnya lebih berani.

Katanya, pemuzik indie dianggap "berani" kerana mereka sanggup mengambil risiko sendiri - misalnya mengeluarkan kos untuk menghasilkan karya - berbanding bernaung di bawah label besar tertentu.

“Mereka juga kreatif sama seperti kumpulan mainstream (arus perdana). Apa yang berbeza cuma cara mereka menyebarkan muzik,” katanya.


Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.