Kementerian digesa haramkan rokok elektronik


KUALA LUMPUR - Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa Kementerian Kesihatan menimbang untuk mengharamkan penggunaan rokok elektronik kerana alat itu 'berkemungkinan besar' menyebabkan kemudaratan.

Presidennya, Dr Ashok Zachariah Philip berkata, kebanyakan kimia yang terkandung di dalam asap rokok juga terdapat dalam rokok elektronik walaupun kadarnya mungkin lebih rendah.

"Walaupun peranti rokok elektronik baru sahaja dipasarkan dan belum dilakukan kajian secara jangka panjang, namun besar kemungkinan ia membahayakan.

"Malah, cecair mengandungi nikotin yang digunakan untuk 'vaping' tetap berpotensi menyebabkan terjadinya tabiat dan ketagihan.

"Oleh itu, kementerian patut menimbang untuk mengharamkannya atau sekurang-kurangnya mengawal selia penggunaannya seperti yang dilakukan terhadap rokok," kata dalam kenyataan di sini, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Rokok elektronik vapor dikhuatiri penyebab kanser]

Dr Philip berkata sekiranya kajian jangka panjang mendapati rokok elektronik tidak mempunyai risiko, langkah itu boleh ditimbang semula.

Rabu lepas, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam menasihati orang ramai supaya berhenti sementara daripada menghisap shisha, rokok elektronik atau rokok wap sehingga pengumuman tentang risikonya dibuat dalam masa dua bulan akan datang. - Bernama



Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.