Kuala Lumpur: Tahun ini, dilihat sebagai tahun yang mencabar bagi ekonomi Malaysia memandangkan terdapat beberapa isu makro yang memberi kesan secara langsung kepada pelbagai industri di Malaysia termasuk hartanah.
Namun, seperti yang kita ketahui produk hartanah terutama kediaman menjadi aset penting kepada manusia dan harga pasarannya juga dilihat sememangnya meningkat dari setahun ke setahun.

IM Global Property Consultant Sdn Bhd (IM Global), syarikat perunding hartanah melihat keadaan ekonomi semasa yang memberi kesan langsung kepada pembeli akan memberi sedikit kemerosotan jualan kediaman sekitar tiga hingga empat peratus pada separuh tahun pertama lalu berbanding tempoh sama pada 2014.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Ishak Ismail berkata, terdapat empat faktor yang mendorong kepada penguncupan pembelian rumah sama ada pembeli rumah untuk didiami atau pelabur iaitu kemerosotan ringgit, peningkatan hutang isi rumah, kejatuhan harga komoditi dan peningkatan perbelanjaan.

“Keempat-empat faktor ini mendorong orang ramai untuk lebih berhati-hati bagi pembelian kediaman.
“Tambahan pula, dengan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) juga mengakibatkan wujud sentimen penjualan produk yang lebih mahal dalam kalangan peniaga yang akhirnya menyebabkan pengguna perlu menampung kos peningkatan harga berkenaan. Ini menyebabkan pendapatan bulanan bakal pembeli perlu dikawal dan mereka lebih berhati-hati dalam soal kewangan,” katanya.

Katanya, kesan pertumbuhan ekonomi yang perlahan ini bukan saja membabitkan pembeli rumah tetapi dirasai juga oleh pelabur hartanah kerana mereka hanya diberikan pembiayaan sehingga 70 peratus saja bagi pembelian rumah keempat dan seterusnya.

Malah, beliau juga melihat situasi penjualan kediaman mewah dalam kadar harga RM500,000 ke atas berada dalam keadaan ‘sejuk’ memandangkan pembeli mewah menunggu situasi yang lebih sesuai untuk membelinya.

“Berbanding dengan harga kediaman yang berada dibawah kadar RM300,000 ia masih mendapat perhatian pembeli dan jika pemaju dapat menawarkan lebih banyak unit kediaman dalam kadar harga berkenaan ia boleh membantu merancakkan pembelian hartanah dalam situasi ketika ini.

“Selain itu, sentimen orang ramai terhadap persekitaran ekonomi semasa yang dirasakan memberi banyak kesan kepada mereka juga mengakibatkan penurunan penjualan kediaman buat masa ini,” katanya.

Bagaimanapun, Ishak berkata, kepada pembeli rumah pertama, sekiranya mereka mendapat tawaran harga pembelian yang berpatutan atau lebih murah ketika ini mereka perlu merebut peluang berkenaan walaupun berdepan dengan cabaran perbelanjaan.

“Mereka perlu merebut peluang ini kerana pertumbuhan ekonomi semasa yang sedikit perlahan ini biasanya tidak akan berlaku dalam tempoh masa panjang berbanding penjualan kediaman yang sentiasa meningkat dari setahun ke setahun,” katanya.
- www.hmetro.com.my


Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.