KUALA LUMPUR – Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan bahawa e-rokok adalah dilarang dan haram di dalam ajaran Islam, menurut pengerusinya, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abd. Shukor Husin.

Beliau berkata, e-rokok atau rokok secara bentuk elektronik termasuk vape dikategorikan sebagai berbahaya, membazir dan memudaratkan kesihatan, lapor pelbagai portal berita tempatan pada Selasa.

“Jadi dengan ketiga-tiga sebab itu, kita katakan ia adalah haram,” Abd. Shukor dipetik berkata pada sidang akhbar selepas program Wacana Eksekutif Indeks Syariah Malaysia Peringkat Negeri Perak 2015 lewat Isnin.

Katanya, fatwa tersebut diputuskan berdasarkan pendirian Majlis Fatwa Kebangsaan terhadap penggunaan shisha iaitu sejenis rokok ala paip yang popular dalam kalangan warga Arab dan dan berasal dari Timur Tengah.

“Kami telah berbincang secara dalam mengenai isu rokok dan shisha, maka kita boleh menyamakannya dengan isu vape. Kami telah buat keputusan dan tidak ada masalah timbul dalam hal ini,” jelas Abd. Shukor.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya telah memutuskan untuk mengeluarkan fatwa itu lebih awal walaupun Kementerian Kesihatan masih lagi menunggu pandangan pakar-pakar perubatan untuk membuat keputusan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam pada minggu lalu menasihatkan pengguna shisha dan e-rokok atau kaedah vape di negara ini agar berhenti daripada gaya hidup tabiat tersebut buat sementara waktu.

Ia bertujuan bagi mengenal pasti sebarang penemuan saintifik terbaharu mengenai risiko bakal dialami perokok terbabit yang bakal diumumkan pihak kementerian tersebut dalam masa dua bulan lagi.

Beliau berkata kementeriannya sedang berbincang dengan pelbagai pihak berkaitan untuk mendapatkan pandangan mengenai kesan kaedah moden ini terhadap kesihatan.


Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.