Abdul Hamid Bador Ditukarkan ke JPM, tapi jawatan tidak wujud


DAMANSARA - Bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas I Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Bador ‎berkata, ada sesuatu yang pelik berlaku terhadap pertukaran beliau ke Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Ujarnya, walaupun beliau diminta untuk ditukarkan ke JPM namun katanya semakan beliau ke atas JPM dan‎ Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) jawatan beliau ke JPM itu belum wujud.

"Sekarang ini saya akan tunggu 17 September ini (hari terakhir lapor diri)‎, mereka  beri sebulan untuk saya lapor diri di JPM, yang hairankan saya, bila saya tanya JPM, jawatan tu 'tak ready' (tidak sedia) lagi. Masih nak berbincang dengan JPA.

"Kalau dah ada jabatan itu, dalam cuti pun saya sanggup pergi, saya batal cuti lapor diri, jawatan pun tiada lagi. Kalau kata ini pengiktirafan, minta maaflah...

"Pada saya, kalau dah jawatan pun belum bersedia, JPA tidak tahu, jadi saya tunggulah. Sama ada saya akan lapor atau tidak," katanya.

Mengulas lanjut Abdul Hamid berkata, pertukaran beliau ke JPM telah dimaklumkan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Dua minggu ‎sebelum ini pada Jumaat tiga petang saya dipanggil oleh TPM untuk  ke pejabat beliau di tingkat 31, Bukit Aman, sebagai pegawai kerajaan yang taat saya pun pergi menghadap beliau.

"Apabila saya dipanggil masuk, perkataan pertama yang keluar dari Zahid Hamidi ialah, Datuk kita kawan tuk. Kita sahabat kita kenal satu sama lain. Saya hanya nak sampaikan pada datuk bahawa saya sudah jumpa PM dan PM telah beri saya dua pilihan. Sama ada saya ditukar ke Majlis Keselamatan Negara atau ke Jabatan Perdana Menteri.

“Saya tergamam dan terkejut sebab sebelum ni saya ada merayu pada Tan Sri Khalid Abu Bakar, saya rayu secara peribadi dengan beliau. Beliau akur wujudnya desas-desus. Saya tak tau macam mana dia dapat tahu tetapi mungkin dimaklumkan dalam mesyuarat," katanya.

Katanya, kenyataan Ahmad itu sangat berat baginya kerana merasakan seperti jasanya tidak dihargai.

"Berat betul hukuman saya terima, sampai kena keluar PDRM saya kata dalam hati. Macam seolah-olah saya dah lakukan dosa besar tak boleh diampunkan, kena dijinak di luar PDRM. Saya kata Alhamdulillah.

"Saya tidak bertanya banyak, saya tanya TPM, saya tahu datuk, tahu sebab apa saya tidak dikehendaki dalam PDRM," katanya.

Namun ujarnya dia tidak kecewa sebaliknya akan terus memberi bakti dan bercakap perihal yang dirasakannya benar.

"Ada kata saya kecewa sebab tidak jadi pengarah, bukan."

"Tetapi pertukaran ini tidak akan menghentikan saya daripada saya melontarkan pandangan, saya ada hak di bawah perlembagaan dan undang-undang, dan saya tahu keterbatatasan dan apa yang perkara apa tidak boleh saya  bercakap," katanya.- Sinarharian.com.my

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.