Kira-kira 1.68 lelaki Malaysia berusia 40 tahun ke atas mengalami Disfungsi Erektil (ED), kata presiden Persatuan Farmasi Malaysia Datuk Nancy Ho.

Bagaimanapun, katanya kebanyakan mereka keberatan atau takut berjumpa pakar untuk mengetahui lebih lanjut mengenai rawatan masalah itu yang juga dikenali sebagai lemah tenaga batin.

"Terdapat banyak cabaran untuk merawat ED terutamanya akibat keengganan mereka berbincang secara berterus terang tentang masalah itu atau dihalang oleh kepercayaan berasaskan budaya dan set minda," katanya ketika berucap dalam persidangan mengenai peranan ahli farmasi dalam menangani ED di ibunegara semalam.

ED ialah ketidakmampuan berterusan atau secara berulang untuk mencapai atau mengekalkan ketegangan secukupnya bagi melakukan hubungan seks dengan memuaskan.

Ho berkata keadaan psikologi dan emosi seperti stres, kemurungan atau kerisauan serta kehilangan harga diri boleh menjadi punca ED.

"Rawatan ED tidak patut dipandang remeh... kini terdapat pelbagai kaedah rawatan dan pesakit hanya perlu berunding dengan doktor tentang bentuk rawatan yang perlu dilakukannya," kata Ho.

Beliau berkata ahli farmasi bersedia mengadakan perbincangan secara peribadi mengenai opsyen bagi seseorang untuk mendapatkan rawatan berkesan bagi masalah ED.

- Bernama



Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.