Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilucutkan jawatannya kini menyertai Datuk Seri Anwar Ibrahim, satu-satunya timbalan perdana menteri yang pernah dipecat dalam sejarah politik Malaysia.

Jawatan itu bagaimanapun, sering diselubungi kontroversi, di mana dahulu Tun Musa Hitam yang memegang jawatan itu dari 1981 hingga 1986, meletakkan jawatan kerana perbezaan pendapat dengan perdana menteri pada masa itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, serta Tun Ghafar Baba, yang mengambil alih jawatan pada 1986 tetapi dikalahkan Anwar pada 1993.

Anwar dipecat pada 2 September, 1998 atas dakwaan rasuah dan liwat.

Muhyiddin, 68, mula menceburi politik apabila bertanding sebagai calon dan memenangi kerusi Parlimen Pagoh pada 1978, yang dipegangnya selama dua penggal hingga 1986.
Beliau kemudian bertanding untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Serampang yang juga dimenanginya, membuka jalan baginya untuk menjadi menteri besar Johor pada 1986.

Sebelum itu, beliau berkhidmat sebagai timbalan menteri dalam dua kementerian.

Selepas khidmatnya sebagai menteri besar Johor tamat, Muhyiddin memegang beberapa portfolio berbeza sebelum dilantik sebagai timbalan perdana menteri kepada Datuk Seri Najib Razak pada April 2009.

Beliau memegang portfolio sebagai menteri pendidikan pada April 2009 dan dua bulan kemudian mengumumkan yang kerajaan akan memansuhkan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), yang diperkenalkan Dr Mahathir pada 2003.

Muhyiddin juga mengundang kontroversi pada Mac 2010 apabila mengisytiharkan yang beliau seorang Melayu dahulu dan rakyat Malaysia kemudian, apabila bercakap berkaitan dengan slogan 1Malaysia Najib.

Terkini, Muhyiddin semakin lantang, walaupun tidak begitu konsisten dalam kelantangannya, tentang skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Pada Ahad, Muhyiddin mengkritik 1MDB di mesyuarat tahunan Umno bahagian Cheras di mana beliau mempersoalkan skandal menyelubungi hutang RM42 bilion syarrikat itu serta laporan The Wall Street Journal tentang wang yang disalurkan ke dalam akaun peribadi Najib, tetapi disuruh Pejabat Perdana Menteri semalam untuk bersabar menunggu keputusan siasatan.

Najib menubuhkan 1MDB apabila mula berkuasa selepas mengambil alih daripada bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau belum lagi merombak atau menukar Kabinet sejak 2009 dan selepas Pilihan Raya Umum ke-13, di mana beliau menambah senarai menteri kepada 35. – 28 Julai, 2015. -www.themalaysianinsider.com




Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.