KOTA KINABALU - Polis menahan tiga wanita di Penampang dekat sini kerana disyaki terlibat dalam kes penipuan pembelian rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Meruntum dan Ketiau, daerah Putatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kontinjen Sabah, Superintendan Md Razif Alang

Mat Jaya berkata, ketiga-tiga wanita tempatan berusia antara 25 tahun hingga 30-an diberkas dua hari lepas berikutan aduan seorang lelaki yang mendakwa telah membayar RM1,400 sebagai bayaran tempahan untuk pembelian rumah PPRT berharga RM62,000 namun hingga kini belum mengetahui status permohonan rumahnya.

Mangsa membuat laporan polis pada jam 2 petang, Rabu lepas di Penampang selepas tidak menerima sebarang maklumat berhubung status permohonan rumahnya daripada wanita berkenaan.

Menurut Md Razif semakan pihaknya dengan Majlis Daerah Penampang mengesahkan bahawa majlis daerah berkenaan tidak pernah melantik mana-mana individu atau syarikat atau persendirian sebagai ejen untuk menjual rumah PPRT itu.

Kesemua wanita berkenaan kini sedang ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Md Razif berkata sehingga kini sejumlah sembilan laporan polis telah diterima berkaitan kes yang sama. - Bernama

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.