Jangan terpengaruh penjualan rumah mampu milik


KOTA BHARU - Penduduk Kelantan dinasihatkan supaya berhati-hati dan tidak tertipu dengan pihak tertentu yang bertindak sebagai orang tengah dalam proses jual beli rumah kos rendah kerana rumah berkenaan tidak boleh dijual dengan sewenang-wenangnya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata rumah mampu milik yang dibina kerajaan Kelantan itu dikhaskan kepada golongan tertentu sahaja.

"Mengikut dasar kerajaan negeri, hanya rumah yang dibina lebih 10 tahun boleh dijual semula kecuali kepada keluarga terdekat.

"Perkara ini perlu difahami pembeli agar mereka tidak tertipu sehingga terpaksa menanggung kerugian beribu ringgit," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas beberapa pembeli merujuk perkara itu kepada kerajaan negeri bagi mengetahui status pemilikan rumah mampu milik yang dibeli daripada orang tengah terbabit.

Abdul Fattah berkata sehingga kini, terdapat tiga pembeli merujuk kepada pihaknya berhubung perkara itu dengan bukti pembayaran.

"Kami mendapat laporan mereka tertipu sehingga telah membayar pendahuluan berjumlah RM11,000 semata-mata untuk memiliki rumah mampu milik di sebuah kawasan perumahan di Kota Baharu," katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri akan membuat siasatan lanjut berhubung perkara itu dan akan mengambil beberapa langkah bagi menanganinya.

"Kami harap tiada lagi pembeli yang akan dimanipulasi dan ditipu oleh mereka yang tidak bertanggungjawab ini.

"Mereka yang ingin memiliki rumah mampu milik sepatutnya mendapatkan maklumat lanjut daripada kerajaan negeri dan tidak mudah terpengaruh dengan penjualan seumpama itu," katanya.

Beliau berkata mereka yang tertipu atau mahu menuntut semula wang pendahuluan, dinasihatkan membuat laporan polis. - Bernama



loading...

Comments

Popular posts from this blog

Rahsia Dusun Bonggi

Nostalgia - Nahas helikopter Melibatkan Tan Sri Yahya Ahmad

Esscom berdepan 'musuh dalam selimut'