Sekurang-kurangnya tiga orang cedera termasuk seorang wartawan manakala empat individu ditahan susulan kejadian rusuhan berhampiran Plaza Low Yat, Kuala Lumpur.

Insiden yang dicetuskan oleh pergaduhan itu bermula kira-kira 12.05 pagi Isnin berhampiran sebuah hotel apabila kumpulan perusuh bertindak menyerang seorang mangsa dengan menggunakan topi keledar.

Keadaan menjadi tegang selepas tujuh lelaki didakwa mengamuk di Plaza Low Yat apabila seorang rakan mereka didakwa ditipu penjual telefon bimbit di pusat beli belah tersebut.

Pihak polis telah menahan empat individu kerana kesalahan mencuri dan merusuh berhubung insiden pergaduhan di Plaza Low Yat pada Sabtu.

Setakat ini, polis telah membuka dua kertas siasatan melibatkan Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan merusuh dan mencuri, kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan bahawa beliau mengarahkan penulis blog Wan Mohd Azri Wan Deris diberkas kerana membuat berita palsu berhubung pergaduhan di Plaza Low Yat.

BACA: Plaza Low Yat kecoh, tujuh lelaki mengamuk

Wan Mohd Azri adalah penulis blog yang menggunakan nama Papa Gomo di papagomo.com dan di laman sosial.

"Saya sudah mengarahkan agar orang-orang ini ditangkap,” kata Khalid yang berharap Wan Mohd Azri akan tampil menyerahkan diri.

Khalid juga menjelaskan individu yang mencetuskan pergaduhan tersebut sememangnya mencuri satu telefon bimbit daripada salah sebuah kedai di plaza tersebut.



Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.