KOTA KINABALU 7 Jun – “Saya berbangga anak mati dalam keadaan bermaruah dan menjadi hero negara,” kata ayah seorang mangsa gempa bumi di Gunung Kinabalu, Joannes Lubak, 55.
JOANNES LUBAK

Bapa kepada jurulatih aktiviti pendakian di Gunung Kinabalu, Valerian, 36, berkata, meskipun sedih dengan kejadian yang berlaku, dia berbangga dengan keberanian yang ditunjukkan anaknya itu.

Katanya, anak keempat daripada 10 adik beradik itu sentiasa bersemangat untuk menjalankan tugas di puncak Gunung Kinabalu.

“Kali terakhir saya berjumpa dengan Valerian pada 30 Mei lalu semasa hari keluarga kami yang diadakan sempena sambutan perayaan Pesta Kaamatan.

“Perjumpaan itu diadakan di rumah kami di Kampung Bundu Tuhan, Ranau. Biarpun dia sudah tiada, saya tetap berbangga dengan tugas yang telah dilaksanakannya,” katanya yang ditemui di Hospital Queen Elizabeth (QEH), di sini hari ini.

Mengimbas kembali hari kejadian yang mengorbankan anaknya, kata Joannes, ketika itu dia berada di rumah.

Katanya, sebaik sahaja mengetahui kejadian tersebut pada pukul 3 pagi, dia terus menelefon Valerian.

“Semasa saya telefon, masih ada bunyi daripada telefon Valerian tetapi tidak dijawab. Mungkin dia sudah tiada ketika itu,” katanya.

Tambah Joannes, apa yang menyayat hati mereka sekeluarga adalah perancangan perkahwinan Valerian yang dijadualkan berlangsung pada November ini.

Katanya, anaknya itu sudah bertunang dengan seorang jururawat, Jessica Beronica Sikta, 25, dan merancang melangsungkan perkahwinan pada bulan tersebut.

Valerian merupakan jurulatih Via Feratta di Gunung Kinabalu sejak 2012.

Mayat mendiang Valerian akan dibawa pulang ke Kampung Bundu Tuhan untuk acara pengkebumian.

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.