RANAU 6 Jun – Biarpun cedera parah terkena runtuhan batu, namun bagi Robi Sapinggi, 30, tanggungjawab sebagai malim gunung menyebabkan dia mele­takkan keselamatan para pendaki sebagai keutamaan melebihi diri sendiri.

Dalam keadaan kesakitan, Robi mengarahkan pendaki di bawah tanggungjawabnya supaya mene­ruskan pendakian turun ke kaki Gunung Kinabalu meski pun dia ditinggalkan bersendirian dalam keadaan cedera.

Menurut status akaun Facebook milik majikannya, Amazing Borneo Guides, Robi kemudian meninggal dunia di atas Gunung Kinabalu akibat kehilangan banyak darah sebelum sempat pasukan penyelamat tiba.

“Tanggungjawab dan dedikasi yang dipamerkan ketika menjalankan tugas tidak dapat disangkal pelbagai pihak termasuk para pelancong.

“Sikap murni itu bukan sahaja satu kehilangan buat keluarga mendiang dan Taman-Taman Sabah tetapi turut dirasai syarikat kami. Dia adalah seorang ‘wira yang tidak didendang’,” katanya dalam kenyataan di laman sosial Facebook di sini.

Dalam pada itu, salah seorang rakan mendiang, Edwin Maguring, 34, memberitahu, dia pasti akan merindui semangat setiakawan dan tanggungjawab yang dipamerkan Robi.

Lebih dirindui jelas Edwin ialah sifat-sifat kelakar Robi ketika memberi penerangan kepada para pendaki sebelum aktiviti pendakian.

“Saya rasa para pelancong yang pernah menggunakan perkhidmatan mendiang akan berasa rindu terutama gelagat Robi ketika sesi penerangan,” katanya.

Edwin berkata, mendiang juga merupakan seorang yang amat cintakan alam sekitar hingga bersikap tegas jika terdapat para pelancong yang gemar membuang sampah merata-rata semasa aktiviti pendakian.

Sementara itu, keluarga mangsa yang dihubungi Mingguan Malaysia enggan mengulas lanjut mengenai kejadian yang menimpa Robi.

Salah seorang abang mendiang yang enggan dikenali berkata, mendiang seorang yang ceria, bertanggungjawab kepada keluarga dan dedikasi terhadap kerja.

“Buat masa ini beri kami masa atas insiden yang berlaku. Cukup lah saya katakan dia seorang yang ceria, bertanggungjawab dan dedikasi ketika bekerja,” katanya. -UTUSAN

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.