Program Sayangi Sungai Paka


DUNGUN - Mengambil inisiatif untuk memelihara dan memulihara khazanah alam daripada tercemar, Petronas Gas Berhad (PGB) dengan kerjasama Persatuan Pencinta Alam (MNS) melancarkan program Sayangi Sungai Paka dengan menjadikan sungai berkenaan sebagai salah satu tanggungjawab sosial utama mereka.

Inisiatif berkenaan memberi fokus kesedaran dan perlindungan alam sekitar, kebersihan dan keadaan sungai juga akan dipantau dari masa ke masa.

Ketua Pegawai Eksekutif PGB, Yusa’ Hassan berkata, sebagai permulaan beberapa aktiviti berkaitan alam sekitar akan dijalankan sehingga akhir tahun ini.

Menurutnya, kumpulan Petronas sentiasa bersama masyarakat menjalankan tanggungjawab sosial korporat dengan memberi penekanan kepada aspek pendidikan, alam sekitar, kebajikan dan pembangunan.

“Antara yang akan dibuat ialah tubuhkan sukarelawan daripada kakitangan Petronas dan masyarakat. Seterusnya ambil sampel air dan spesies flora fauna, berkongsi maklumat ekologi serta habitat sungai.

“MNS juga akan jalankan aktiviti ambil air sungai Paka untuk pemantauan dan merekod kehidupan tumbuh-tumbuhan serta haiwan yang wujud sepanjang Sungai Paka,” katanya ketika majlis perasmian Program sayangi Sungai Paka, di Rumbia Resort Villa, Paka, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Presiden MNS, Henry Goh.

Yusa’ berkata, menerusi program berkenaan diharapkan dapat meningkatkan kesedaran kepentingan menjaga alam sekitar kepada penduduk selain mendidik mereka mengenai kepentingan mencintai sungai dan kepelbagaian kehidupan semula jadi di kawasan ini.

“Sayangi Sungai Paka turut babitkan sekolah angkat Petronas iaitu SK Santong yang telah menyertai program sentuhan ilmu Petronas sejak 2005.

“Untuk masa hadapan dicadangkan aktiviti menanam tumbuh-tumbuhan sungai, program tangkap dan lepas spesies ikan terpilih,” katanya.

Sempena itu juga, sebanyak 1,000 benih ikan siakap dilepaskan ke Sungai Paka sebagai salah satu usaha pemeliharaan ekosistem. - Sinarharian

Comments

Popular posts from this blog

Rahsia Dusun Bonggi

Nostalgia - Nahas helikopter Melibatkan Tan Sri Yahya Ahmad

Raja bomoh Ibrahim Mat Zin pembohong