SEKILAS PANDANG: Dalam dunia politik, pemimpin berkualiti dan baik mestilah mempunyai beberapa ciri-ciri.

Mereka mestilah benar, adil, tidak korup, mempunyai kebijaksanaan, intelek, berfikiran waras dan sudah tentu mempunyai adab yang baik sesama yang lain.

Dalam politik Malaysia, mereka juga mesti ada “telur”.

“Telur” dalam pengertian ini sering digunakan untuk menggambarkan keberanian atau lebih tepat, dalam ayat penulis Amerika Patrick Rothfuss “testicular fortitude”.

Dalam sidang terbaru Parlimen, seorang pemimpin menunjukkan beliau mempunyai lebih “telur” daripada kebanyakan ahli politik Sabah, apabila beliau menyeru supaya Sabah dan Sarawak dilayan seperti rakan setaraf persekutuan.

Dalam klip video itu, Ahli Parlimen Sungai Petani Johari Abdul membangkitkan isu ini, dengan mengatakan Sabah dan Sarawak adalah rakan setaraf dan bukan sekadar negeri, dan harus diberikan peruntukan dana yang sama rata.

Beliau berkata kepimpinan BN Sabah sering menyuarakan rungutan dengan berdiplomasi untuk mengelak daripada meyinggung Perdana Menteri Najib Razak.

Johari menggambarkan perbezaan bagaimana Sabah dilayan berbanding Malaya dengan menjelaskan keadaan jalan raya di dua tempat ini.

Jalan raya di Malaya lancar, sementara di Sabah, keadaannya begitu menyedihkan.

Kenyataan beliau telah membuatkan kedua-dua pihak politik bersatu berbincang termasuklah wakil rakyat BN, Marcus Mojigoh dari Putatan dan Abdul Ghapur Salleh dari Kalabakan.

Marcus berterima kasih kepada Johari kerana mempertahankan Sabah dan berkata bahawa Ahli Parlimen Sabah telah bercakap isu berkaitan negeri itu tanpa lelah, sementara Ghapur yang lantang itu turut bersetuju, mengatakan perbezaan antara Malaya dan Sabah seperti langit dan bumi dan ini telah diucapkan dalam Parlimen.

Johari berkata jika beliau adalah perdana menteri beliau akan melantik timbalan perdana menteri untuk Sabah dan Sarawak supaya mereka akan dapat melihat dan menjaga kawasan masing-masing.

Beliau turut berkata bahawa kedua-dua Sabah dan Sarawak kaya dari segi sumber asli dan ianya lebih wajar jika sesetengah yang pergi ke kerajaan persekutuan tetapi sebahagian besarnya kembali kepada kedua-dua negeri.

Pertama sekali, terima kasih kepada Johari kerana bersuara bagi pihak rakyat Sabah dan Sarawak.

Kepada ramai orang di Sabah dan Sarawak, sentimennya adalah kami sering dilayan seperti anak tiri berbanding rakan setaraf yang sepatutnya kami terima.

Pengabaian banyak perkara Perjanjian 18 dan 20 Perkara, isu-isu imigresen, kekurangan autonomi pentadbiran dan infrastruktur yang lemah antara sebab ramai orang di negeri-negeri Borneo kecewa dan hampa.

Parti-parti pembangkang dalam kedua-dua negeri sering lantang tentang perkara ini, sementara di bahagia kerajaan, terdapat beberapa ahli parlimen yang lantang seperti Ghapur dan Bung Mokhtar Radin yang bersuara untuk negeri.

Namun, terdapat ramai lagi dalam Sabah dan terutamanya mereka yang berjawatan tinggi yang kelihatan sering tunduk kepada kerajaan pimpinan Umno. Mereka tidak mempunyai “telur” untuk bersuara ke atas Putrajaya dan meminta lebih untuk Sabah dan Sarawak.

Berapa banyak kalikah kita mendengar menteri persekutuan dari Sabah dan Sarawak bersuara ke atas Putrajaya dalam kepentingan negeri asal mereka? Di manakah “telur” mereka?

Walaupun Sarawak di bawah kepimpinan Adenan Satem kelihatan seperti negeri yang cukup berani untuk bangkit ke atas Putrajaya, perkara yang sama tidak dapat dicakap mengenai Sabah.

Apa gunanya mempunyai Ahli Parlimen yang berulang kali membangkitkan isu tetapi masih lagi tidak dapat layanan lebih baik atau lebih adil kepada Sabah dan Sarawak?

Mungkin sudah sampai masa mereka melihat kembali strategi politik mereka, tanya diri mereka sendiri di mana patutnya kubu kuat BN. Atau mungkin sudah sampai masa rakyat Sabah tendang mereka yang tidak mempunyai “telur” dalam pilihan raya.
- See more at: bm.theantdaily.com


Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.