Demikian diceritakan oleh seorang malim gunung, Karim Soriew, 35, yang menyertai operasi mencari dan mengesan baki 17 lagi mangsa yang dikatakan terkandas di Gunung Kinabalu.

“Saya tidak mampu kutip cebisan daging dan anggota badan mangsa kerana tiada sarung tangan. Saya cuma mengangkatnya sahaja di dalam bungkusan,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia sejurus tiba di Timpohon Gate dekat sini hari ini.

Karim memberitahu, laluan pendakian ke Gunung Kinabalu juga rosak dengan laluan-laluan bertangga patah dihempap batu besar.

“Di atas sana, sentiasa ada gegaran. Penginapan pondok di Panar Raban juga musnah dihempap batu,” ujarnya.

Berkongsi cerita sama, Eddy Julah, 21, juga melihat cebisan daging dan anggota badan sepanjang mengikuti operasi itu.

“Tak sanggup saya nak melihatnya. Keadaan amat menyedihkan. Semangat saya kuat untuk mengikuti operasi kerana seorang malim gunung dikenali sebagai Joseph adalah kawan baik kami. Dia masih belum ditemui.

“Dia banyak beri tunjuk ajar kepada saya selepas bergelar malim gunung tahun lalu. Apa yang terbentang di depan mata saya, cukup menyedihkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Keselamatan Malim Gunung, Christoper Peter Edi, 48, mengakui melihat sendiri salah satu puncak Donkey Ears Peak telah ‘patah’ dalam gegaran semalam.

“Ketika itu saya berada di puncak. Tiba-tiba bunyi retakan dan dentuman. Lantai gunung seakan beralun. Saya nampak ada pendaki yang terjatuh dan mayat bergelimpangan.

“Saya tidak boleh berbuat apa-apa kerana keutamaan saya menyelamatkan mereka yang masih hidup. Kejadian ini cukup membuatkan saya trauma dan tidak mahu naik ke atas gunung buat masa ini,” tambahnya. - suarasabah.com


Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.