Malim gunung Richard Soibi

Bertubuh kecil, dengan ketinggian kurang 5 kaki, Richard Soibi, 49, menyertai operasi misi mencari dan menyelamat pendaki di Gunung Kinabalu paling awal dalam keadaan gelap gelita dengan kabus yang sejuk menusuk ke tulang sum-sum ketika gempa bumi pertama kali melanda Sabah pagi Jumaat lalu.

Memiliki pengalaman lebih 20 tahun sebagai malim gunung atau jurupandu pelancong dan pendaki untuk ke puncak Gunung Kinabalu, beliau berkata, sekumpulan 32 malim gunung yang ketika itu sedang membawa 103 pendaki menaiki puncak, berkumpul di Laban Rata.

Selepas itu, mereka hanya dapat memulakan perjalanan turun ke kaki gunung sekitar jam 8 malam, dalam keadaan bergelap, kata pengerusi Malim Gunung Taman Kinabalu itu.

Laban Rata ialah kawasan terakhir yang mempunyai bekalan keperluan makanan dan penginapan sebelum pendaki meneruskan perjalanan ke puncak Gunung Kinabalu.

Kumpulan pendaki yang pada mulanya bergerak dalam kumpulan kecil, berkumpul dan membentuk satu kumpulan besar, meneruskan perjalanan turun ke kaki gunung pada malam itu dalam perjalanan lebih 12 jam selepas kejadian gempa pada kira-kira 7.17 pagi.

Bercakap kepada The Malaysian Insider di Kundasang lewat malam tadi, Richard berkata, dalam kedinginan malam dan risiko gegaran susulan, kumpulan berkenaan meneruskan perjalanan selama 10 jam mereka sebelum tiba di pintu Timpohon yang terletak di kaki Gunung Kinabalu.

"Untuk turun ke Laban Rata dari puncak, kami mengambil masa selama 3 jam. Dari Laban Rata ke kaki gunung, sekitar 7 hingga 8 jam," katanya.

Kumpulan itu kemudiannya turut disertai 90 malim gunung yang tiba kemudiannya membawa bekalan makanan dan ubat-ubatan serta pengusung untuk membantu mereka yang mengalami kecederaan.

Richard yang pernah bekerja sebagai bekas pembantu penyelidik di Taman Kinabalu berkata, kumpulan berkenaan mengambil masa yang lama berbanding tempoh biasa ekoran keadaan trek pendakian yang sebahagiannya musnah dan tertimbus batu yang runtuh akibat gempa bumi berskala 5.9 skala Richter itu.

"Perasaan itu berdebar-debar, kita kena pastikan mana satu kawasan tidak selamat... dalam gelap itu, semua turun," katanya menceritakan detik-detik awal ketika diarah pihak Taman Negara melaksanakan misi tersebut.

Kumpulan malim gunung adalah antara yang pertama berjaya membawa turun pendaki dari puncak sebelum misi mencari dan menyelamat dilakukan pihak berkuasa keselamatan.

Katanya, malim gunung yang dilantik di kawasan Taman Negara Kinabalu juga disediakan latihan bantuan kecemasan dan teknikal setiap tahun serta layak menjalankan tugas mereka dengan profesional.

Richard berkata, terdapat 250 malim gunung di bawah jagaannya.

"Ciri-ciri jadi malim gunung ialah mesti bukan orang kelainan upaya, boleh bertutur bahasa Melayu dan sedikit bahasa asing.

"Latihan kecemasan, dan teknikal lain, setiap tahun dibuat pihak Taman Negara," katanya.

Susulan gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter berlaku di Ranau itu, pasukan mencari dan menyelamat semalam menemui 11 mayat di kawasan Gunung Kinabalu, menjadikan 13 angka terkini mereka yang terkorban.

Ketua Polis Daerah Ranau Deputi Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, jumlah itu susulan kepada 2 mayat mangsa yang dibawa turun dari kawasan pergunungan itu pada Jumaat malam, yang dikenal pasti sebagai seorang malim gunung rakyat tempatan dan murid sekolah warga Singapura.

Misi mencari dan menyelamat baki 6 lagi pendaki kini memasuki hari ketiga.

Ketika menjelaskan tugasan yang akan dilaksanakannya hari ini, Richard berkata, bantuan malim gunung diperlukan untuk menjadi penunjuk arah kepada pasukan keselamatan.

"Mungkin malim akan digunakan untuk pandu arah. Esok (Ahad) kami akan ke kawasan kemalangan yang pasti ada mayat, 700 meter dari Laban Rata, terletak antara kilometer 6.5 dan kilometer 7," katanya.

Beliau bagaimanapun berpendapat, harapan amat tipis untuk semua baki pendaki tersebut ditemui dalam keadaan bernyawa.

"Saya ingat tidak ada harapan, tetapi sebagai tanggungjawab sosial, kita kena uruskan.

"Kesukaran dan cabaran utama ialah tiada jalan naik, kena ikut kepandaian malim gunung," katanya yang dijadualkan mula kembali bertugas dalam misi mencari dan menyelamat bermula jam 6 pagi ini. – 7 Jun, 2015. - themalaysianinsider

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.