RANAU 10 Jun – Gunung Kinabalu kini kosong, tiada siapa berada di puncak, sunyi sepi daripada sebarang aktiviti termasuk pendakian.

Pusat operasi khususnya dalam menjalankan misi mencari dan menyelamat mangsa, juga sudah ditutup sepenuhnya sekitar tengah hari ini.

Menurut pihak berkuasa, sebanyak 56 gegaran direkodkan sepanjang lima hari ini.

Terbaharu, gegaran sekuat 3.3 pada skala Richter melanda daerah ini pada pukul 6.05 petang ini.

Namun, berita mulai tersebar tentang runtuhan beberapa struktur batu di gunung itu dengan penduduk setempat mendakwa terdengar bunyi kuat, kononnya daripada runtuhan tersebut.

Walau bagaimanapun, pihak keselamatan ketika diajukan tentang perkara itu tidak menerima sebarang laporan termasuk laporan kecemasan berhubung runtuhan batu.

Perkara sama diajukan kepada Pengarah Taman-Taman Sabah, Dr. Jamili Nais yang juga belum menerima sebarang laporan tersebut.

“Esok kita akan lihat apakah ada runtuhan batu di Gunung Kinabalu,” katanya ringkas ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau menegaskan, Gunung Kinabalu kini kosong sepenuhnya namun tidak memberi jawapan bila aktiviti pendakian khususnya membabitkan tinjauan kerosakan kemudahan akan dilakukan.

Pagi 5 Jun lalu, Sabah digegarkan dengan gempa bumi dengan 18 orang, terdiri daripada pendaki dan malim gunung, disahkan terkorban.

Mayat mangsa dikenal pasti dan ada dituntut oleh keluarga mangsa.

Pecahan mengikut negara mayat yang dikenal pasti adalah:

 Malaysia (enam mayat)

 Singapura (10 mayat)

 China (satu mayat)

 Jepun (satu mayat)

- Utusan.com.my

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.