Gempa bumi sederhana bermagnitud 5.9 pada skala Richter berlaku di Ranau, Sabah pada 7.15 pagi ini.

Pusat Gempa Bumi dan Tsunami Nasional dalam kenyataan berkata gegaran dirasai di kebanyakan tempat di Sabah termasuk Ranau, Tambun, Pedalaman, Tuaran, Kota Kinabalu dan Kota Belud.

Pusat gempa tersebut terletak 16km barat laut Ranau, lapor Bernama.

Jurucakap pusat tersebut ketika dihubungi berkata tiada lagi gempa bumi dilaporkan, sehingga berita ini ditulis.

Ia turut menyebut, Jabatan Meteorologi sedang memantau perkembangan ini dan akan memaklumkan maklumat terkini.

Sementara itu, tinjauan di media sosial mendapati beberapa netizens berkongsi gambar kerosakan harta benda selain memuat naik status akibat gegaran tersebut.

Sementara itu, seorang penjawat awam, Pilly Dewi Ros yang berada di Kota Kinabalu bagi menghadiri perkahwinan adik perempuannya berkata gegaran itu sungguh menakutkan beliau.

"Saya terpaksa berpaut pada meja ketika gegaran itu berlaku," katanya.

Katanya, kejadian pada 7.23 pagi itu yang dirasai selama lima saat menyebabkan orang ramai lari keluar bangunan.

Pengalaman yang sama turut dirasai penyunting Bernama, Nor Hasliza Abdullah yang kini bercuti di Kota Kinabalu bersama-sama 11 anggota keluarganya.

Beliau dan keluarga menginap di sebuah hotel di tengah-tengah bandaraya itu.

Katanya ketika kejadian berkenaan, beliau sedang bersiap untuk keluar dan menunggu anak perempuannya mandi.

Sehubungan itu beliau berharap Jabatan Meteorologi dapat memaklumkan segera status terkini bagi membolehkan orang ramai dan pelancong khususnya merancang percutian mereka.

Bagaimanapun di TAWAU, keadaan berbeza.

Tinjauan Bernama di sekitar daerah ini menyaksikan aktiviti harian masyarakat berjalan seperti biasa.

Orang ramai yang ditemui berkata tidak merasai gegaran gempa bumi yang berlaku di Ranau, terletak kira-kira 441 kilometer dari pusat bandar Tawau.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau Mohd Razali Awang Ahmad ketika dihubungi berkata pihaknya tidak menerima sebarang pangilan kecemasan mengenai gempa bumi tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kunak Supt Ad Rashid Abdullah juga berkata setakat ini pihaknya tiada menerima apa-apa laporan mengenai sebarang gegaran di daerah itu.

Sementara itu, menurut Berita Harian Onlline, gempa bumi itu berpusat di 6.1 utara, 116.6 timur, kira-kira 16 kilometer di barat daya Ranau berlaku jam 7.15 pagi tadi.

Gempa yang dikesan di kedalaman 54 kilometer di bawah tanah itu dirasai di sekitar Ranau, Tambunan, kawasan pedalaman dan pantai barat termasuk Tuaran, Kota Kinabalu, Beaufort dan Kota Belud.

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.