Penduduk di sekitar daerah Ranau sekali lagi berdepan detik mencemaskan apabila berlaku tiga gempa bumi susulan dengan yang kedua berukuran 4.3 pada skala Richter.

Gempa bumi pertama berukuran 3.5 pada skala Richter berlaku pada pukul 10.45 pagi, sehingga menyebabkan kerosakan siling perpustakaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Mohamad Ali, dekat Ranau.

Ia diikuti gegaran kedua pada pukul 5.33 petang dan yang ketiga pada pukul 6.26 petang.

Menceritakan detik cemas semasa gegaran itu, Gordon Juanis, 24, pekerja sebuah hotel di pekan Ranau berkata, beliau sangat terkejut dan bertindak melarikan diri ke luar hotel berkenaan kerana bimbang hotel berkenaan runtuh.

"Ketika gegaran itu saya sedang duduk di kaunter hotel ini. Gegaran itu kuat berbanding gegaran pagi tadi. Saya rasa gegaran itu kira-kira empat hingga lima saat," katanya ketika ditemui Bernama di hotel berkenaan petang ini.

Sementara itu, seorang pengusaha restoran di Poring, Mohammad Abdullah, 54, berkata ketika kejadian beliau sedang memasak di restorannya.

"Semasa kejadian itu saya dan isteri cepat-cepat keluar dari restoran itu dan pada masa yang sama saya melihat ada jiran yang berlari keluar rumah sambil berteriak.

"Saya rasa gegaran itu sangat kuat dan menakutkan. Namun saya bersyukur restoran saya tidak mengalami sebarang kerosakan," katanya ketika dihubungi.

Tinjauan Bernama di pekan Ranau semasa kejadian menyaksikan orang ramai yang berada di dalam premis sama ada kedai atau restoran bertindak keluar dari premis berkenaan.

Namun setelah beberapa minit kemudian, orang ramai memasuki semula premis-premis berkenaan dan melakukan aktiviti seperti biasa.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau, Jimmy Lagon ketika dihubungi berkata, setakat ini pihaknya belum menerima pangilan kecemasan berhubung kejadian gempa bumi itu.

"Ketika ini kita hanya bersiap sedia di balai dan apabila ada panggilan kecemasan kita akan bergerak melakukan operasi," katanya.

- Bernama

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.