SHAH ALAM - Veteran Umno berpandangan sudah tiba masanya Umno menyegarkan kembali parti itu dengan menampilkan pemimpin muda selaras tuntutan semasa.

Setiausaha Veteran Umno, Datuk Mustapha Yaakub berkata, ibarat usia seseorang, Umno kini didakwa semakin ‘tumpul’ dalam perjuangannya.

“Matanya sudah kabur, gigi sudah tanggal, rambut sudah putih, telinga kurang mendengar, belakang sudah bongkok dan sekali sekala nyanyuk.

“Justeru itu Umno perlukan generasi pengganti bagi mewarisi kepimpinan yang sedia ada. Penggantian itu akan memberi tenaga baru kepada Umno untuk meneruskan perjuangan Alif Ba Ta.



“Oleh itu sudah sampai masanya pucuk pimpinan Umno menebang semua pokok-pokok tua yang tidak mendatangkan hasilnya lagi dengan menanam pokok-pokok baru yang berbaka baik dengan harapan dapat mengeluarkan hasil yang lumayan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Mustapha berkata, dengan berbaki hanya dua  tahun setengah  lagi menjelang PRU14, Umno perlu melakukannya segera, bagi memastikan parti itu kekal relevan.

“Inilah masanya untuk menanam pokok-pokok baru itu dan bila sampai masanya pokok lama ditebang.



“Walaupun begitu, pokok-pokok baru yang ditanam itu jangan pulak menjadi enau didalam belukar yang masing-masing mahu melepas pucuk.

“Selagi mereka berpegang kepada prinsip dan dasar perjuangan Alif Ba Ta, maka selama itulah Umno akan terus utuh dan kekal relevan,” katanya.


Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.