STATUS kalsium dikatakan tidak dapat dikesan secara tepat sungguhpun seseorang menjalani ujian darah bagi menguji paras kalsium. Cadangan dos piawai oleh golongan doktor kepada kebanyakan pesakit sedangkan setiap orang memerlukan sukatan tersendiri selain mengalami kadar penyerapan kalsium tersendiri dipercayai mencetus masalah.

Ia menyebabkan sesetengah orang sentiasa mengalami kekurangan kalsium sungguhpun mereka mengambil kalsium tambahan. Yang lain pula mengalami kalsium berlebihan di mana ia dipercayai menyebabkan klasifikasi (kalsium terenap) arteri dan tisu-tisu lembut lain.

Sebuah kajian yang dilaporkan oleh saintis New Zealand pada 2012 menunjukkan pengambilan suplemen kalsium boleh meningkatkan risiko penyakit jantung. Ia dikatakan dijadikan panduan sebahagian doktor agar tidak mencadangkan pengambilan kalsium dengan sukatan tinggi.

Kajian Framingham yang terbit dalam jurnal American Society for Nutrition 2012 tidak mendapati kaitan antara kalsium yang diambil dalam bentuk suplemen atau dari makanan dengan klasifikasi arteri. Namun pada tahun berikutnya kajian saintis Sweden mendapati kaitan antara pengambilan Kalsium dalam bentuk suplemen atau dari makanan dengan risiko tinggi meninggal dunia akibat penyakit jantung!

Pandangan pakar

Mari kita lihat pandangan beberapa orang pakar mengenai kajian yang mendapati suplemen kalsium dikaitkan dengan klasifikasi arteri atau penyakit jantung.

Pada 2012, sebuah kajian berasaskan pemerhatian ke atas 24,000 orang Jerman yang dilaporkan dalam jurnal Heart telah menunjukkan bahawa risiko serangan jantung adalah dua kali ganda pada orang yang mengambil suplemen kalsium. Menurut penulis artikel berjudul ‘Calcium in The Sportlight’ dari Berkeley Wellness, rekod-rekod yang digunakan dalam kajian tersebut tidak mencukupi. Tambahan pula, bilangan subjek yang mengambil suplemen Kalsium adalah kecil. Ia menyebabkan kesimpulan kajian dipersoalkan.

Berkeley Wellness memuatkan pelbagai artikel tulisan pakar-pakar dari School of Public Health, Universiti California di Berkeley (UCB). UCB merupakan salah sebuah universiti terunggul di dunia berdasarkan pencapaian akademik dan penyelidikan yang amat cemerlang.

Terdapat pelbagai kajian menunjukkan tiada kaitan antara suplemen kalsium dengan risiko koronari. Malah menurut penulis artikel di Berkeley Wellness itu, sesetengah kajian mencadangkan bahawa pengambilan Kalsium pada kadar tinggi mengurangkan risiko penyakit jantung.

Sungguhpun mengalami kekurangan, kajian yang negatif iaitu yang mengaitkan suplemen Kalsium dengan risiko penyakit jantung memerlukan kajian seterusnya. Sesetengah saintis penyelidik berpendapat bahawa Kalsium dos tinggi yang diambil dalam bentuk pekat ketika perut kosong menyebabkan suplemen berpotensi menimbulkan masalah.

Menurutnya lagi, bagi meredakan kebimbangan pelbagai pihak terhadap sama ada kalsium daripada makanan atau suplemen boleh terenap pada arteri koronari dan menyebabkan atherosklerosis, penulis artikel dari Berkeley Wellness tersebut menyebut sebuah kajian sebagai bukti. Kajian tersebut ialah analisa 2013 daripada Framingham Offspring Study iaitu sebuah penyelidikan jangka panjang yang membuat kesimpulan bahawa orang yang mengambil kalsium daripada makanan atau suplemen paling tinggi sehingga 3,000 mg sehari didapati tidak mengalami pertambahan Kalsium koronari.

Selain itu pakar Berkeley Wellness tersebut memaparkan sebuah lagi berita baik berdasarkan kajian di Kanada yang terbit dalam Journal of Clinical Endocrinology & Metabolism (2013) yang mendapati golongan wanita yang mengambil sehingga 2,000 mg kalsium setiap hari mengalami penurunan kadar kematian sebanyak 22 peratus sepanjang 10 tahun kajian berbanding orang yang tidak mengambil kalsium. Kajian yang sama juga mendapati tiada kesan signifikan secara statistik ke atas kadar kematian pada kaum lelaki atau dengan dos Kalsium yang lebih tinggi.

Terdapat beberapa pandangan lain yang diutarakan oleh beberapa pakar. Dr Deepak Bhatt, ahli kardiologi dari Brigham and Women’s Hospital iaitu hospital yang berafiliasi dengan Harvard Medical School mempersoalkan penerangan saintis penyelidik terhadap bagaimana kalsium boleh terenap pada arteri sedangkan tulang hanya berupaya menyerap kalsium secara terhad apabila seseorang mengambil kalsium pada dos yang lebih tinggi berbanding yang terdapat dalam makanan.

Tiada masalah

Dr Bhatt menyokong orang yang mengambil 1,000 – 1,200 mg suplemen kalsium sehari berdasarkan nasihat doktor mereka kerana menurutnya sukar bagi seseorang untuk mendapatkan jumlah tersebut daripada makanan.

Dr Richard Lee, editor bersama (co-editor) Harvard Heart Letter yang pula dipetik sebagai berkata bertugas mencari pendekatan baru dalam menangani penyakit jantung mengambil sikap berhati-hati. Menurutnya, oleh kerana suplemen kalsium masih belum dibuktikan selamat secara pasti, maka kebanyakan orang boleh mendapatkan kalsium yang mencukupi daripada makanan. Beliau mencadangkan seseorang boleh mengambil pil multivitamin (penulis: biasanya mengandungi kalsium pada paras rendah) sebiji setiap hari jika perlu di samping mengamalkan pengambilan makanan seimbang.

Panel pakar dari the Preventive Services Task Force membuat kesimpulan dengan kepastian ‘tahap sederhana’ bahawa piawaian dos harian kalsium (1,000 mg) bersama dos rendah vitamin D (400 IU atau kurang) tidak mencegah keretakan tulang pada subjek wanita tanpa osteoporosis. Dengan itu badan tersebut menasihatkan golongan wanita tidak mengambil kedua-dua suplemen tersebut.

Badan tersebut dikritik hebat kerana dikatakan tidak mentafsir kajian dengan sempurna atau bersikap terlalu negatif. Semakin ramai saintis menyuarakan dos vitamin D yang lebih tinggi adalah perlu untuk kesihatan tulang. Badan bertindak tersebut dikatakan mengaku sendiri bahawa dos vitamin D (400 IU) rendah memang tidak mencukupi.

Apa pandangan penulis mengenai pengambilan suplemen kalsium? Orang yang mendapati makanan yang mereka ambil kurang menyumbang kalsium boleh mengambilnya tidak melebihi 800mg sehari dibahagi kepada beberapa dos. Pil kalsium yang biasa dipreskripsi doktor juga seharusnya mengandungi vitamin D.

Untuk penyerapan sempurna, pil kalsium karbonat harus diambil oleh orang mempunyai asid perut tinggi sahaja. Asid perut rendah pula sepatutnya ambil suplemen Kalsium sitrat.

Suplemen Kalsium karbonat yang diberi kepada orang asid perut rendah dipercayai menyebabkan Kalsium terenap pada arteri jantung, otak dan tisu-tisu tertentu termasuk payudara dan prostat.

Ambil suplemen Kalsium ketika makan makanan utama iaitu sarapan, makan tengah hari dan malam. Protein dan lemak yang mencukupi serta sayur-sayuran terutama jenis jeruk dan buah-buahan (kandungan vitamin C) dikatakan membantu penyerapan kalsium dengan lebih sempurna.

Golongan pengamal seharusnya benar-benar mengetahui simptom berpunca daripada kekurangan kalsium dan magnesium. Sesetengah simptom sebenarnya bertindan. Pesakit yang diberi kalsium padahal ia memerlukan kalsium dipercayai boleh menimbulkan masalah kesihatan! -SINARHARIAN



Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.