Salahkah rakyat prihatin dengan isu 1MDB, TH?


SHAH ALAM - Penganalisis politik berpandangan bahawa sikap ambil berat rakyat Malaysia terhadap isu  1Malaysian Development Berhad (1MDB)  dan Tabung Haji (TH) adalah disebabkan mereka sayangkan negara dan prihatin ekonomi negara.

Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datuk Dr Agus Yusoff berkata, kritikan dan serangan rakyat terhadap isu tersebut bukan disebabkan ingin menjatuhkan kerajaan.

Sebaliknya beliau berkata, rakyat ingin mendapat jawapan konkrit daripada kerajaan, selain jaminan kerajaan mengenai keadaan ekonomi semasa.

“Saya dapati rakyat mengeluh kerana mereka tidak mendapat jawapan kepada isu yang timbul, tetapi alasan semata. Susah sangatkah untuk memberi jawapan yang boleh meyakinkan rakyat?” katanya menerusi Facebooknya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, banyak isu ekonomi yang timbul sekarang begitu menggusarkan rakyat termasuk isu tentang pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

“Tentang GST, rakyat juga tidak marah jika pelaksanaannya sama seperti yang dijelaskan oleh kerajaan. Kerajaan menyatakan GST tidak akan membebankan rakyat kerana harga keperluan asas tidak naik; GST hanya untuk orang kaya; GST menurunkan cukai SST dari 10+6 peratus kepada hanya 6 peratus sahaja.

“Realitinya, apabila dilaksanakan harga barang keperluan naik. Hatta, harga kad prabayar yang dijanjikan tidak naik pun dikenakan GST. Kerajaan berjanji akan menyelesaikan masalah kad prabayar ini dengan Telco, tetapi sampai sekarang belum ada lagi pengumuman mengenai penyelesaiannya,” katanya.

Ujarnya lagi, apabila harga keperluan meningkat, rakyat marah dan menuntut penjelasan, maka dipersalahkan pula rakyat.

“Apabila rakyat mengeluh, keluarlah kenyataan rakyat tidak berterima kasih; pembangkang mengambil kesempatan dan lainnya. Isu rakyat telah ditukar menjadi isu politik kepartian. Mengapa sampai begitu?

“Melihat kembali, saya fikir wajar kita turut merenung kebuntuan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yaasin,” katanya.

Sebelum ini, Muhyiddin ketika bercakap di Milan tentang isu 1MDB berkata, beliau sendiri buntu untuk menjawab isu tersebut. - Sinarharian
loading...

Comments

Popular posts from this blog

Rahsia Dusun Bonggi

Nostalgia - Nahas helikopter Melibatkan Tan Sri Yahya Ahmad

Esscom berdepan 'musuh dalam selimut'