Blackberry Leap menjadi taruhan baru selepas pengenalan Blackberry Classic yang menampilkan paparan sentuh 5.0 inci.

Rekaan peranti ini nampak eksklusif dan mempunyai tahap kenipisan 9.5mm yang cukup bagi pengguna biasa.

Boleh dikatakan, ia dibuat berdasarkan rekaan ergonomik dengan bahan yang tahan lasak terutama di bahagian belakang de­ngan struktur kontemporari meminimumkan pembangunan kerangka antara skrin dan hujung telefon terbabit.

Bahagian belakang menggunakan bahan yang agak lembut tapi tidak licin ketika dipegang dan boleh dibuka.

Dengan logo Blackberry di tengah, bahagian atas kiri mempunyai kamera 8MP dengan flash bersebelahan manakala di bahagian atas menempatkan jek set telinga 3m stereo bersama butang buka atau tutup.

Sementara itu, di bahagian tepi terdapat slot mikroSIM manakala satu lagi bahagian tepi dimuatkan dengan butang audio.

Antaramuka Blackberry 10 dengan versi 10.3 nampak lebih kemas yang banyak dipengaruhi rekaan minimum sekali gus memudahkan penglihatan kepada aplikasi utama di dalamnya.

Pada bahagian depan, penguji menetapkan beberapa ciri biasa bagi skrin kunci termasuk waktu dan notifikasi yang boleh diakses pantas. Misalnya jika penguji memperoleh e-mel, hanya leretkan jari sekali untuk membacanya secara penuh.

Penguji juga tertarik dengan ciri Active Frames yang membolehkan sehingga lapan ciri utama dimuatkan di skrin depan.

Oleh itu, penguji berkesempatan menempatkan beberapa aplikasi utama seperti laman sosial Facebook dengan kemas kini, game, senarai kenalan dan berita semasa.

Satu lagi fungsi menarik ialah akses mudah kepada carian dalam telefon. Misalnya jika penguji ingin mencari aplikasi atau sesuatu yang lain, hanya sentuh sekali sebelum ikon cari muncul dan taip saja apa yang diperlukan.

BlackBerry Hub pula meringkaskan semua aktiviti pengguna pada satu skrin cuma penguji jarang menggunakannya memandangkan ia menyepadukan segala-galanya sehingga kadang-kala pening untuk membaca kesemuanya.

Kini, Blackberry memiliki Blackberry Assistant yang beroperasi sepenuhnya dengan suara untuk memberi arahan dan ia juga mengulangi semula apa dikatakan penguji bagi tujuan pengesahan sebelum memulakan carian.

Antara ciri baru yang digemari penguji termasuk Blend yang menyimpan kandungan telefon dan memindahkannya ke PC dengan mudah berdasarkan ciri perkomputeran ‘cloud’.

Bukan saja bagi tujuan ‘backup’ malah ia sangat berguna sekiranya kerja dilakukan di telefon diakses kembali ke PC ketika pembentangan dan sebagainya.

Leap mempunyai kamera 8MP dengan ciri baru seperti Time Shift tetapi penguji kurang menggemari kepantasan dan fokus yang tidak begitu memberangsangkan bagi telefon ini.
- See more at: www.hmetro.com.my


Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.