Persoalan utama yang berbangkit mengenai isu pembelian tanah milik 1MDB oleh Tabung Haji ialah kenapa ianya dibayar lebih tinggi dari harga pasaran?

Menurut Zairil Khir Johari, MP Bukit Bendera, 1MDB mendapat tanah asal pada harga RM64 per kaki persegi pada 2011 dan dijual kepada Tabung Haji RM2,773 per kaki persegi dengan keuntungan RM184 juta.

Sedangkan laporan penilaian risiko dalaman TH sendiri mendedahkan transaksi setanding dalam kawasan itu menunjukkan tanah dijual antara RM649.49 per kaki persegi hingga RM2,266..

Dibayar lebih RM500 setiap kaki persegi bagi nilai maksima tanah menurut penilaian risiko Tabung Haji sendiri..serta lebih daripada transaksi setanding lain yang terkini...


Perkara ini turut dipersoalkan PAC


Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata tindakan Lembaga Tabung Haji (TH) membuat pembelian tanah bernilai RM188.5 juta milik syarikat sarat menanggung hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menjadi tanda tanya memandangkan firma bermasalah itu kerap dikecam kerana mengumpul hutang begitu banyak.

Beliau terkejut dengan keputusan TH kerana 1MDB yang merupakan syarikat milik penuh Kementerian Kewangan itu sedang dikecam berikutan memiliki jumlah hutang lebih RM42 bilion.

"Terdapat banyak peluang pelaburan lain yang boleh diterokai Tabung Haji terhadap wang pendeposit untuk membuat keuntungan.

"Mereka tidak sepatutnya memilih pelaburan seperti ini.

"Isunya ialah mengenai profesionalisme dan integriti jawatankuasa pelaburan serta lembaga pengarah TH yang meluluskan pelaburan itu, adakah terdapat tangan ghaib yang mengarahkan mereka.

"Bagi pembelian itu, tanah berkenaan terletak di lokasi utama tetapi perjanjian itu dilakukan berdasarkan nilai pasaran semasa," katanya.

Ahli Parlimen Pulai daripada Umno itu berkata, PAC tidak bercadang untuk menyiasat mengenai pembelian tanah yang dibuat TH pada waktu ini kerana terlalu sibuk.

PAC dijangka memulakan pendengaran ke atas 1MDB akhir bulan ini ketika Parlimen bersidang semula. Sesi pendengaran itu membabitkan siapa yang terbabit dalam penubuhan, pengurusan dan mengawal selia 1MDB.

Sumber memberitahu The Malaysian Insider pegawai Bank Negara mungkin turut akan dipanggil bagi memberi keterangan di hadapan PAC.

"PAC mempunyai banyak kes yang perlu disiasat sekarang, termasuk menyiasat kes yang diketengahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara dan 1MDB.

“Tetapi kami terbuka untuk menerima maklumat lanjut mengenai perkara itu," kata Nur Jazlan kepada The Malaysian Insider melalui kiriman WhatsApp semalam.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan memanggil TH pada masa akan datang, jika diperlukan.

TH semalam mengesahkan badan pengelola dana simpanan bagi umat Islam untuk ke tanah suci Mekah itu membeli sebidang tanah daripada projek pelaburan Tun Razak Exchange (TRX) yang terletak di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur bernilai RM188.5 juta.

Pembelian tanah itu didakwa mendapat "potongan" harga berbanding nilai pasaran semasa.

Badan pengelola dana simpanan itu merancang untuk membina sebuah menara kediaman di tapak yang akan dibangunkan anak syarikat TH, TH Properties Sdn Bhd - berpengalaman luas dalam bidang hartanah dan pembinaan termasuk pembangunan perbandaran bercampur Bandar Enstek seluas 5.119 ekar berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Pelaburan itu adalah berdasarkan kepada keputusan komersial yang sesuai dengan risiko Tabung Haji dan melalui semua proses sewajarnya," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tabung Haji Datuk Johan Abdullah dalam satu kenyataan semalam.

Bagaimanapun, TH menafikan kumpulan itu membeli sebidang tanah daripada 1MDB di parcel kedua TRX seperti diperkatakan blog "The Benchmark" yang membocorkan dokumen didakwa memperincikan pembelian TH sebanyak 2 plot tanah di TRX dengan jumlah modal RM772 juta.

Bagaimanapun, ahli Parlimen pembangkang Zairil Khir Johari menegaskan TH sudah membayar nilai hartanah itu jauh lebih mahal berbanding nilai yang dibayar 1MDB pada kadar RM64 sekaki persegi 4 tahun lalu.

Sementara itu, ketua pegawai eksekutif syarikat hartanah Zerin Hartanah Previndran Singhe merasakan nilai RM188.5 juta itu adalah "harga berpatutan" selepas mengambil kira nisbah plot yang lebih tinggi, keluasan tanah dan insentif cukai bagi projek TRX.

Berdasarkan kepada produk, saiz dan kualiti, beliau menganggarkan harga potensi unit kondo bagi pengambilalihan terbaru TH itu boleh mencecah "hingga RM2,000 kaki persegi".

Previndran terus yakin walaupun terdapat kebimbangan terhadap kelembapan pasaran hartanah dan lebihan bekalan kondominium mewah di Lembah Klang sambil menyatakan harganya akan terus meningkat selagi ia mempunyai aspek 4P iaitu produk, harga, tempat dan promosi.

"Ya, saya rasa pasaran boleh berkembang, tetapi produk yang dihasilkan mestilah baik," katanya menerusi kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS).

TH enggan mendedahkan saiz pengambilalihan hartanah itu tetapi sebuah blog yang tidak dikenali mendakwa keluasannya 1.56 ekar.

Bulan lalu, syarikat konglomerat Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB) membelanjakan RM259.16 juta atau RM3,188 sekaki persegi untuk membeli 1.8661 ekar tanah pegangan bebas di sepanjang Jalan Kia Peng daripada Kedutaan Jerman.

Menurut MRCB, harga berkenaan kira-kira 6% lebih tinggi daripada nilai pasaran tanah itu, berdasarkan penilaian oleh CH Williams Talhar & Wong dan Home International Zaki & Partners.

Akhbar mingguan perniagaan The Edge Mac lalu melaporkan tanah pegangan bebas seluas 7.98 ekar di Jalan Ampang milik kedutaan Perancis dijual hampir RM700 juta.

Tanah Suruhanjaya Tinggi British di Jalan Ampang pula dijual pada Disember 2012 kepada pemaju SP Setia Berhad pada harga RM294.96 juta untuk tanah seluas 3.07 ekar dengan nilai mencecah RM2,200 sekaki persegi.

Akhbar mingguan itu juga melaporkan pada 2013, sekurang-kurangnya 2 bidang tanah di kawasan Jalan Kia Peng sudah dijual.

City View Ventures Sdn Bhd membeli tanah seluas 63.089 kaki persegi yang dipajak daripada Tropicana Kia Peng Sdn Bhd dengan nilai RM2,099 sekaki persegi.

 Kemudian diikuti, Kuala Lumpur Cosmopolitan Sdn Bhd membeli sebidang tanah pegangan bebas seluas 39.828 kaki persegi dalam kawasan Changkat Kia Peng dari Hatayu Corp Sdn Bhd dengan nilai RM2,799.88 sekaki persegi lapor The Malaysian Insider. - darisungaiderhaka.blogspot.com




Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.