MB Perak sokong Najib atau Tun M?


CHANGKAT JERING - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir digesa menyatakan pendirian sama ada menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atau beralih sokongan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang baru mengisytiharkan tidak lagi menyokong Presiden Umno itu menerusi satu program Bicara Negara di Ipoh, kelmarin.

Penolong Setiausaha Agung Pas Pusat, Dr Raja Iskandar Al-Hiss berkata, gesaan ke atas Zambry dibuat Pemuda Pas Perak susulan kehadiran ramai pemimpin utama Umno Perak termasuk ketua Umno bahagian ke program yang menampilkan Dr Mahathir, memberi gambaran seolah-olah majoriti kepimpinan utama Umno negeri ini tidak lagi yakin dengan kepimpinan Najib.

Menurutnya, di sebalik kenyataan Najib mendakwa menerima sokongan padu ahli Majlis Tertinggi Umno dan ketua-ketua Umno bahagian di seluruh negara, Pas melihat kehadiran pemimpin Umno termasuk ketua Umno bahagian ke program tersebut merupakan satu perkara pelik dan perlu diperjelaskanZambry sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak kepada rakyat negeri ini.

“Kehadiran ramai pemimpin Umno terdiri dalam kalangan ketua Umno bahagian semalam (kelmarin) pastinya menjadi tanda tanya dalam kalangan Pas dan rakyat, sama ada kerajaan negeri sendiri sudah hilang kepercayaan terhadap pentadbiran Najib sehinggakan kehadiran mereka seolah-olah mendapat keizinan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri.

“Zambry perlu menyedari kerajaan negeri akan menanggung kesan negatif akibat daripada kehilangan keyakinan pemimpin Umno negeri dan pegawai kerajaan terhadap kepimpinan Najib sekiranya beliau tidak segera menjelaskan sokongan terhadap Perdana Menteri, yang akhirnya akan turut memberi kesan kepada rakyat Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang media khas sempena Muktamar Pemuda Pas Perak ke-32, di Air Kuning di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar, Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria dan Ketua Pemuda Pas Perak baharu, Mohd Akmal Kamaruddin.

Dalam pada itu, Mahfuz menegaskan pendirian Mahathir terhadap Najib tidak wajar dilihat sebagai krisis politik Umno, sebaliknya perlu dianggap krisis politik yang mampu menggugat kestabilan negara sekiranya dibiarkan.

Menurutnya, Pas tidak melihat tindakan Najib berundur daripada jawatan Perdana Menteri akan menyelesaikan krisis, sebaliknya jalan terbaik adalah menyerahkan mandat kepada rakyat dengan membubarkan Parlimen.

“Melalui cara ini, Najib boleh membuktikan sejauh mana sokongan rakyat terhadapnya setelah beliau berhadapan dengan pelbagai isu kepimpinan.

“Bagaimanapun, sebagaimana yang Tun Mahathir cakap sewaktu berjumpa dengan saya, ‘Kalau bubar Parlimen, ampa (PR) menang la’.

“Jadi, saya melihat perkara itu agak sukar dilakukan Najib ketika ini,” katanya. - Sinarharian

loading...

Comments

Popular posts from this blog

Rahsia Dusun Bonggi

Nostalgia - Nahas helikopter Melibatkan Tan Sri Yahya Ahmad

Senarai Rasuah KM Sabah & Sarawak..? SPRM tutup mata..